
Istilah cinta mempunyai magiknya yang tersendiri. Dari mata turun ke hati… Ada cinta pertama, ada cinta terakhir, ada cinta yang abadi. Manisnya cinta, mengubat segala rasa rindu di hati. Kuatnya cinta, sehinggakan boleh menyuntik semangat dan motivasi. Indahnya cinta, bagaikan segala cabaran dan kekurangan boleh diatasi.
Diri mudah tersenyum, hati berbunga bahagia. Semua kerja menjadi, semua perkara terlaksana. Hidup bagaikan amat sempurna. Magiknya cinta!
Suami kekasih pertama dan dialah cinta yang terakhir. Dia datang ketika semua perkara sedang kekurangan. Hidup terkontang-kanting di perantauan, hati kesepian tanpa keluarga, cabaran pengajian yang meresahkan, laluan hidup yang cukup berbeza dari biasa. Susahnya untuk solat, susahnya nak makan, susahnya menempuh dingin salji….
Hanya satu panggilan bertanya khabar membuatkan hati rasa sayu, kerana ada yang masih ingin tahu dan memahami. Perkongsian masalah rupanya amat boleh meringankan susah. Hati sentiasa terbuka dengan perhatian yang diberikan, walau jauh teramat, tapi begitu melindungi. Cinta datang kemudian, perlahan, mengambil masanya sendiri. Masa selepas berkahwin lebih panjang, tentu ada ketikanya, cinta akan berkunjung juga…
Mengahwininya, lebih kuat bila semua rakan memberi kata positif, apatah lagi rasa hati amat mendebarkan. Tiada sebab untuk berkata tidak. Tiada alasan untuk terus menunggu. Juga, tiada jawapan untuk berkata ya kerana bimbang hati ibu dan bapa yang perlu dijaga. Lama cuba memahami keinginan hati sendiri. Beristikharah….wajah itu juga yang sering muncul. Mengahwininya? Sebab peribadi yang utama… Pertama, menghindari dosa agar tidak membebankan keluarga. Kedua, dia sahabat yang amat karib dan teristimewa...besar hati bila dia bakal menjadi kekasih. Dia melindungi, dia memahami, dia melengkapi. Ketiga, tidak sabar untuk mencintainya.
10 tahun menunggu…akhirnya cinta itu hadir selengkapnya! Mencintainya kerana Allah, rupanya lansung bukan untuk menerima, tetapi memberi kesemuanya...sepenuhnya….seadanya! 5 tahun terakhir ini…menikmati erti sebenar cinta, bila sahabat itu akhirnya menjadi suami….hidup yang turun naik menyukarkan diri memahami nilai cinta yang sebenar....sabar nya dia amat dikagumi...hati sangat berbunga...
Buat semua rakan-rakan bloggers, semua jawapan merupakan ilmu yang tidak ternilaikan. Perasaan dan pengalaman yang amat benar dan tulus dari hati, perkongsian yang teramat-amat dihargai....
Buat Pizah, jawapan akak yang dulu sudah tidak relevan. Kahwinilah dia atas nama Allah sebenarnya! Cintailah dia kerana Allah! Berkhidmatlah sepenuhnya atas nama ibadah, usah sekali-kali menuntut, usah juga mengungkit. Love is of course….a verb!
Selamat menempuh alam perkahwinan adikku!