Friday, January 27, 2012

Adik dan kakak...best friends forever...

Adakalanya gaduh...tapi selalunya kamcing habis...best friends forever...
Dari adik buat si kakak....di posnya kat FB....



Buat Nisha, moga panjang umur, murah rezeki, diberi Allah kejayaan dunia akhirat, dilimpahi kasih sayang Allah sepanjang hayat...




Thursday, January 12, 2012

Alangkah...

Cuti sekolah yang lepas, saya dan anak-anak ke I-City.  Amni beriya-iya mahu bermain snow, teruja bila melihat iklan di TV berkali-kali.  Kami pergi selepas Asar.  Perancangannya, petang berjalan-jalan dalam snow, lepas mahgrib bila malam, baru berjalan-jalan dalam taman lampu.
Ramainya orang...ramai sungguh.  Saya dapati rata-rata orang Melayu, datang satu keluarga bersama anak-anak.  Semua teruja mahu mengalami sendiri...canggihnya I-City....


Namapun I-City...pasti hebat, pasti moden...

Sewaktu sampai, ada 2-3 bas yang membawa rombongan “Cik Kiah”.  Melihat begitu ramai pengunjung, sedangkan petang itu hujan turun tidak berhenti saya mengakui yang ianya merupakan salah satu pusat tumpuan menarik di Selangor.  Malahan I-City juga terdapat dalam laman web pelancongan Selangor.  Jadi...ianya telah diakui sebagai pusat pelancongan ataupun “attractions in Selangor”.

Namapun I-City...persepsi saya...pastinya canggih dan moden, kerana katanya ia adalah hi-tech city.


Kami masuk ke Snow Walk terlebih dahulu sebagaimana yang dirancang.  Ianya boleh jadi lebih baik (tidaklah secantik/secanggih seperti diiklan), tapi bolehlah diterima – meeting expectations.  Ada dua jenis permainan snow slider – satu dengan tube angin, satu lagi dengan slider, dan keduanya beroperasi secara manual, maksud saya slider dinaikkan dan dipindahkan dengan tenaga manusia.   Kesian mereka menyorong slider ke hulu ke hilir (hi-tech?). 

Selepas “bermain salji”, kami keluar untuk solat Maghrib, lebih kurang pukul 7.30 malam.  Terus terang saya rasa lega kerana surau berdekatan dengan rumah salji ni.  Persepsi awal saya, dari gaya signage yang ada, surau yang tersedia mestilah selesa, paling tidak seperti surau di Jaya Jusco...


Papan tanda ke surau memberikan persepsi surau yang selesa dan sempurna.











Namun, segala kecanggihan dari nama I-city, Hi-tech city...hilang....malah terasa malu dan merempat untuk solat di negara sendiri....


Alangkah....malunya....


















Surau terlalu kecil, hanya muat untuk 4 orang dalam satu masa....(bayangkan dengan beribu pengunjung yang kebanyakannya Melayu Muslim.  Saya sendiri menunggu giliran sampai hampir Isya’.  Bayangkan ada 2 bas rombongan Cik Kiah turut menunggu).  Nak bawa beg telekung masuk pun tak muat.  Kemudahannya juga sangat minimum, sejadah dan tikar.  Telekung lagilah tidak ada.  Alhamdulillah kami memang bawa sendiri.  Selipar lagilah tidak ada (hi-tech?).



Tingkap pula pecah, jadi orang luar boleh nampak dengan jelas, perlu hati-hati ketika membuka tudung atau pakai telekung.









Tempat solat lelaki juga sempit di sebelah tabir hijau, boleh muat 4 orang, jadi ada yang terpaksa solat di sini (hi-tech?).  Lantai simen ini berair kerana selipar  yang dipakai dari tandas.







Tiada tempat wudhu’ di dalam surau ini.  Hanya ada tandas dan berwudhu’ di sinki.  Tandas juga sesak dengan non-muslims yang ingin melepaskan hajat.  Tak sesuai rasanya kerana untuk berwudhu’ dan membuka tudung, kemudian basuh kaki di tandas. 


Kawasan ini malap kerana lampu tidak berfungsi.
Sedangkan, lampu di luar bergemerlapan.















Lantai tandas juga kotor dengan tanah merah. 














Paipnya kecil, salur getahnya besar.  Jadi asyik terjatuh saja.  Nak basuh kaki ketika wudhu' punyalah susah...

Cadangan:  Letak pengikat/pengetat salur getah di paip, jadi tidaklah ianya tercabut.










Kesimpulan - Perkara yang boleh diperbaiki:

Kemudahan yang disediakan tidak langsung menggambarkan kemajuan dan kecanggihan nama “hi-tech city”.  Rasa bagai di fun fair.  Di kaunter tiket...standard perlu lebih baik dari fun fair.

Web site I-city juga tidak banyak maklumat, ianya website yang “biasa-biasa” saja.  Berlawanan dengan taraf “hi-tech” yang dibawanya.  Buatlah satu bahagian yang memberikan maklumat tentang Snow Walk, galeri gambar, harga tiket dsb.  Lagi bagus jika ada kemudahan membeli tiket masuk secara on-line.  Pastinya I-City tahu tentang era maklumat di hujung jari.  Pastinya jika ingin melawat, pengunjung mahu memperolehi maklumat.  Jadi mungkin baik jika dipertimbangkan.

Baju sejuk – perlu beri perhatian dalam soal kebersihan.  Baju-baju ini berbau yang meloyakan.  Hi-tech mestilah seimbang dengan taraf kebersihan dan hygiene.

Tempat makan...restoran biasa-biasa saja dengan menu yang biasa-biasa saja.  Malah seperti “asalkan ada.”  Kami pergi ke satu kedai menjual sate...sebab tiada pilihan lain...Rasanya, lokasi I-city merupakan lombong emas untuk pengusaha kedai makan, jadi beri perhatian pada menu dan rasa masakan.


Alangkah sayangnya...

Ia sekadar canggih pada nama...
Susah benarkah mengekalkan imej dan kualiti...
Ianya tempat tumpuan....tapi bagaikan tidak signifikan...

Alangkah sedihnya...

Tempat sehebat itu...hi-tech...tapi sangat mundur taraf suraunya...

Alangkah hebatnya...

Jika perkara yang biasa diberi perhatian yang luarbiasa...


Harap teguran ini membawa perubahan signifikan...usahlah defensif.  Bukankah bagus menjadi lebih baik, itu saja yang kita harapkan.  Jika tiada teguran, nanti kita kekal tidak tahu....

Yang berada di atas...lihat-lihatlah yang di bawah...


NOTA:

Jika anda merancang rombongan Cik Kiah, eloklah singgah di Masjid Negeri terlebih dahulu, solat Maghrib di sana, lebih selesa, lebih luas.


Kepada yang ingin ke I-City, janganlah patah hati.  Jika kita sudah merancang dengan baik, ianya boleh jadi satu lawatan yang menggembirakan.

Sunday, January 8, 2012

Pandai.

Hari pertama sekolah, alhamdulillah anak-anak sudah mula belajar dan ada homework. Ianya satu perubahan. Positif...sangat positif.

 
Dan Nisha bertanya banyak soalan tentang aliran Sains, SPM, hala tuju, potensi diri, kepandaian akademik dan 1001 soalan kritikal dan analitikal. Saya suka melayan namun dalam hati terfikir juga...alahai...baru hari pertama masuk tingkatan 4 sudah fikir pasal SPM. Tapi rupanya di sebalik semua soalan itu ada yang tersirat di hati Nisha, dan akhirnya dia luahkan.

 
"Bila kita pandai dan belajar di luar negara, senang sangatkah kita berubah?"

 
"Sebab itu kita kena faham mahu jadi pandai sebab apa?" Jawab saya.
"Dan kita kena faham kepandaian itu pemberian Allah. Bukan kita yang jadikan diri kita pandai."

 
Saya bertanya lebih lanjut kerana melihat dia risau. Dan saya tidak tahu puncanya.

 
"Macamana boleh jadi macam kes Amalina tu?" Soal Nisha tiba-tiba.

 
Akhirnya saya tahu apa yang bermain di fikiran Nisha. Saya pula tidak tahu hujung pangkal, yang saya tahu cerita Amalina dan kejayaan luarbiasanya dalam SPM. Kisahnya yang terkini saya tidak tahu langsung.

 
"Ibu tak tahu ke? Dah heboh kat facebook lama dah..."

 
Oppss... Memang saya tidak tahu. Esok paginya, heboh juga di radio. Jadi saya pun mula meng-google.  Saya mahu tahu kisah yang sebenarnya.  Video tentangnya di YouTube paling menyentuh perasaan. Hati saya hanya mampu terdetik, "Sayang nyerrr....."

Akhirnya, menung saya berpanjangan ke petang. Saya menung memikir jawapan yang saya perlu berikan pada Nisha. 
 
Harap inilah nasihat terbaik untuknya...for now...

 
15 Nasihat buat Nisha:
  1. Jaga solat dan baca Al-Quran.  Tiada alasan!
  2. Hati manusia berubah-ubah. Sentiasa berdoa agar Allah tetapkan hati dan iman pada Allah.
  3. Sentiasa berdoa agar Allah sentiasa pimpin dan berikan petunjuk hidayah. Sentiasa berdoa agar Allah jauhkan dari kelalaian dan fitnah dunia dan fitnah akhirat.
  4. Sentiasa belajar dan menuntut ilmu hanya kerana Allah.
  5. Fahami konsep aurat dengan sepenuhnya. Bertudung bukan uniform sekolah semata-mata.
  6. Tidak perlu mewarnakan rambut kerana ditakuti tidak sah bila mandi wajib. Boleh menginaikan rambut bila beruban.
  7. Tidak ada masalah untuk solat walau di manapun kita berada, walau di USA walau di UK. Bijak susun jadual dan masa dengan menjadualkan waktu solat terlebih dahulu. Solat di mana saja tempat yang suci jika tiada surau.  Tak perlu rasa malu...kita bersolat bukan kita lakukan kesalahan...Orang yang rasa susah hanya mereka-reka alasan.
  8. Sentiasa pentingkan makanan yang halal. Mencari makanan halal bukan satu masalah langsung bila di luar negara. Adakalanya lebih mudah dan lebih yakin berbanding di negara sendiri.
  9. Bergaul dengan jamaah muslim dan saling ingat mengingati.
  10. Pandai akademik perlu di sertakan dengan kebijaksanaan dalam hidup yang berpandukan prinsip Islam. Jika tidak, kepandaian jadi sia-sia.
  11. Memang salah bila menfitnah orang.  Tetapi kita juga bertanggungjawab untuk memelihara diri dari malakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah.  Jauhkan pergaulan dan perhubungan yang mendatangkan fitnah, jauhkan dari berpakaian yang boleh mendatangkan fitnah, jauhkan dari bergambar yang boleh mendatangkan fitnah, jauhkan dari bertingkahlaku yang boleh mendatangkan fitnah.
  12. Pelihara kehormatan diri.  Sentiasa miliki rasa malu, malu pada Allah terutamanya.
  13. Usah sekali-kali rasa bangga dengan perkara yang jelas salah di sisi Allah.
  14. Berhati-hati dalam menghulur persahabatan di FaceBook.
  15. Pelihara aurat dan kehormatan diri bila menulis entri di FaceBook dan berkongsi gambar di FaceBook.

  

 Saya juga perlu dan mesti sentiasa ingat...

 
12 Nasihat untuk diri sendiri:
  1. Doakan anak-anak untuk berjaya dunia dan akhirat.
  2. Doakan anak-anak agar di tetapkan iman dan sentiasa dalam rahmat Allah.
  3. Tegur anak bila nyata salah dari sudut agama. Tegas dan jelas dalam teguran. Mana yang tidak sekali-kali boleh dilakukan tanpa kompromi perlu dijelaskan dari awal, contohnya tentang membuka aurat.
  4. Bila orang lain menegur anak kita, jangan defensif, mana yang salah perlu diakui sebagai salah dan cepat-cepat perbaiki dan bertaubat.
  5. Jangan sekali-kali berhenti berdoa untuk anak.
  6. Beri tumpuan untuk bangunkan kebijaksanaan anak-anak dalam hidup dan agama, bukan sekadar kepandaian akademik.
  7. Sentiasa mendorong, mendidik dan membangunkan diri anak-anak dalam sudut kemahiran dan kecekapan rohani dan jasmani, bukan mengongkong, memaksa dan mengawal.
  8. Sentiasa mendengar dan memahami sepenuh hati dan perasaan.
  9. Sentiasa didik anak untuk berupaya mengawal dirinya sendiri berteraskan prinsip Islam, bukan kita yang mengawal mereka.
  10. Sentiasa ingatkan mereka bahawa semua perkara perlu dilakukan kerana Allah bukan kerana ibubapa.
  11. Sentiasa bersedia untuk membantu bukan untuk menentu dan membelenggu.
  12. Berikan perhatian kepada keperluan emosi, bukan sekadar keperluan fizikal.

 
Nota:

Bagus juga ada cerita ini di facebook, membuka jalan untuk saya mengupas isu-isu yang berkaitan dan menerangkannya dengan anak-anak sendiri.

 
Namun, manusia sentiasa ada salah silapnya. Ada pintu taubatNya. Dalam diri kita sentiasa tahu mana yang salah dan mana yang betul. Cuma kekuatan yang mungkin sudah hilang.

 
Sebagai ibu, saya doakan Amalina memperolehi kekuatannya semula. Dia boleh pergi lebih luarbiasa dari cara hidupnya sekarang...jika dia memahami maksud sebenar luarbiasa itu...

 
Saya juga berharap bila anak-anak saya terlupa, ramai yang mahu menegurnya...

 
Sayang jika bijak pandai Islam tidak perasan tanggungjawab dirinya sebagai khalifah...
Pasti ada sebab mengapa Allah jadikan kita pandai. Ianya bukan sekadar kebetulan. Semuanya bersebab.

 
Menjadi pandai rupanya satu ujian yang besar...

Wednesday, January 4, 2012

Jauuuhhh....

Saya sebenarnya tak suka menasihati orang bila mereka mengadu masalah rumahtangga.  Saya tak suka kerana saya bukan pakar malahan saya juga tidak sempurna. Adakalanya, saya terlalu mudah bersimpati hingga susah untuk memberi pandangan yang adil. Tapi selalunya saya tak suka kerana saya tak tahu nak nasihatkan apa...

Namun bila melihat airmatanya berjuraian, saya tidak sampai hati...

Akhirnya saya bersuara, "Berhentilah berharap pada suami...sudahlah, tak payahlah berharap pada dia lagi..."

Mungkin dia terperanjat dengan nasihat saya, mengesat airmatanya dan merenung saya dalam-dalam.

"Maksud you bercerai ke?" Soalnya semula.

"Tak...I don't mean that..."

"Tak ada gunanya berharap dengan manusia..." Saya bercakap perlahan-lahan sambil menghirup teh-c.  Fikiran saya juga jauh melayang.  

"Mereka tak boleh beri manfaat malah tak boleh beri mudharat...tanpa izin Allah jua..."

"Berharap sajalah pada Allah. Hanya dia yang boleh membantu...kalau you betul nak selesaikan masalah, bangun malam, solat tahajjud, zikir banyak-banyak. Hanya Dia sebaik-baik tempat bergantung."

"You pun ada dignity...". Saya memandangnya dengan 1000 makna.  Saya harap dia faham apa yang saya maksudkan.

"Nanti Allah selesaikan masalah you satu persatu..."

"Kalau I dah solat banyak-banyak tapi dia macam tu jugak, macamana I nak sabar?"

"Maknanya ego you masih tinggi..."

"Berhenti mengharapkan balasan. You solat untuk kebaikan diri sendiri, untuk kekuatan jiwa sendiri, untuk meningkatkan iman sendiri."

"Hamba tiada hak meminta-minta..."

"Kita cuma berharap Allah masukkan kita dalam golongan orang-orang yang Dia kasihi dan rahmati..."

"Dapat yang itupun...cukuplah tu...itupun dah besar sangat nikmatnya."

"Manusia ni kecik, tapi besar sangat egonya..."
Dia mengangguk bersetuju.

"Kadang-kadang, yang rasa diri dia tu mangsa keadaan, lagi besar ego yang dia ada..."

"Ya ke?"

"Iyee..."

Dia menghabiskan roti bakar dan terus terdiam...jauh berfikir...

Saya biarkan, kerana saya juga sedang berfikir...jauuuhhh...

Pertama...

Ini merupakan entri pertama untuk tahun ini...2012.

Waktu ini suasana sudah amat tenang berbanding 2-3 jam yang lepas. Amni dan Nisha kecoh dan kepoh mengemas buku dan peralatan sekolah. Saya biarkan saja mereka bercakap merapu-rapu sesama sendiri. Alhamdulillah mereka mesra berceloteh, berselang-seli gelak mengekek keduanya. Sekejap-sekejap Amni terjerit kecil diusik kakaknya. Kepala saya serabut dengan kekecohan mereka, tapi saya diamkan saja. Alhamdulillah kerana mereka bukan bising kerana bergaduh dan bertelagah. Mereka teruja agaknya untuk ke sekolah esok. Semuanya baru...doa saya mereka penuh dengan azam dan tekad yang baru.

Kedua mereka sudah tidur nyenyak. Itu yang menjadikan suasana senyap dan sunyi. Saya juga rasa lapang melihat semua uniform sekolah kemas bergantung cukup untuk seminggu...kasut sekolah tersusun di rak kasut...beg sekolah sudah tersandar di tangga.

Saat sebegini merupakan saat yang paling saya gemari. Melihat sekeliling rumah dengan semua perkara nampak tersusun, anak-anak tidur dengan aman...hati rasa puas. Merekalah harta paling berharga...

Nisha melangkah ke Tingkatan 4, Amni pula ke Tahap 2, it's a new chapter of their life.

Buku baru...bab yang baru...
Apa perkara pertama yang saya ingin lakukan? Sudah 2-3 malam saya tertidur memikirkannya.

Semoga yang pertama ini akan membawa berkat sepanjang tahun. Moga tahun ini menjadi tahun yang mudah...yang amat mudah.

Amin.