Monday, June 8, 2009

Raudhah terakhir….

Catatan umrah – 13 Mei 2009 (Rabu-Hari Ketiga)

Azam saya dan Nisha sangat tinggi. Lepas Isyak kami makan malam sekeluarga, naik ke bilik dan bersiap-siap untuk ke masjid semula. Barang-barang masih bersepah, esok pagi-pagi perlu bertolak ke Mekah. Saya sudah bersedia dari segi mental, “Tak tidurlah malam ni nampaknya berkemas.”

Malam itu saya dan Nisha ditemani Zaid. Dia ingin menikmati suasana malam Madinah, dan kami terus ke masjid. Seperti yang kami jangka, kumpulan Melayu masih belum masuk lagi. Jika mengira dari saat selepas Isyak, bermakna kumpulan Melayu sudah ada yang menunggu 2 jam. Malam itu, ramai ‘muka baru’ dan kebanyakannya dari Indonesia. Berdasarkan pengalaman malam semalam, saya dan Nisha tahu kami akan menunggu giliran agak lama, jadi kami solat sunat yang lain terlebih dahulu. Kami memang mengharap menjadi kumpulan terakhir masuk.

Nota di hadapan Raudhah memang menyentuh hati, “Harap bersabar menunggu giliran anda. Anda akan mendapat peluang anda di Raudhah sekiranya anda mahukan begitu.” Apa yang kita lihat ketika menunggu ialah kumpulan-kumpulan wanita dari Iran, dan sekeliling Tanah Arab (semua mereka berjubah hitam atau berpurdah hitam) dapat masuk lebih awal walaupun mereka baru saja datang. Jadi kumpulan Melayu ini dengan mudah boleh berasa teraniaya, datang lebih awal, tetapi masih belum boleh masuk. Sebenarnya, semua kumpulan mendapat peluang yang sama. Paling penting, sentiasalah bersangka baik, pengawal-pengawal berpurdah ini sememangnya tahu apa yang mereka lakukan.

2-3 jamaah wanita Melayu mula menunjukkan rasa tidak puas hati. “Bodoh betul polis ni, orang dia senang je masuk, kita ni nak tunggu apa lagi?”, “Kita ni lembut sangat, ikut je arahan…”, “Sampai bila nak masuk ni, duduk je menunggu…”, “Jom kita bangun, kalau kita rempuh ramai-ramai apa yang polis tu boleh buat?”, “Kalau macam ni, malaslah nak tunggu lagi, balik je lah, boring dibuatnya…”.

Saya dan Nisha boleh merasakan mereka baru pertama kali ke Raudhah, mungkin baru sampai petang tadi. Menunggu lama dari pukul 9.00 malam, sehinggalah waktu itu sudah 11.30 malam, memang cukup menguji kesabaran. Kepada yang akan ke Raudhah pertama kali, sebaiknya balik ke hotel dulu, makan malam, masuk kebilik untuk segarkan diri, dan pergi semula ke masjid jangan lewat daripada 10.30 malam. Insya-Allah pasti berpeluang.

Saya dan Nisha mempelajari banyak perkara. Kami mengingat-ingat tujuan utama ke Raudhah. Peluang ini perlu ditunggu dengan sabar, dengan cara yang baik, dengan hati yang ikhlas. Saya mengingatkan Nisha tentang pesanan ustazah, berdoa 4 perkara yang utama – selamatkan aku dari siksa kubur, selamatkan aku dari azab neraka, selamatkan aku dari fitnah dunia dan fitnah akhirat, selamatkan aku dari fitnah sakaratul-maut. Bila lapang, baru berdoa perkara-perkara dunia dan perkara-perkara peribadi yang lain.

Malam itu, kami bersyukur teramat sangat menjadi kumpulan terakhir. Tempat yang kami dapat sangat strategik, di depan tiang. Kami solat hajat sepuas-puasnya, berdoa dalam sujud semua doa yang kami hajati, doa untuk keluarga, adik beradik, dan rakan-rakan. Kami duduk membaca semua doa di dalam buku doa. Tiada siapa menyuruh kami keluar…kami sendiri yang menentukan bila masa untuk keluar… Saya dan Nisha berasa sangat santai, melihat-lihat yang mana satu Mihrab Nabi, Mimbar Nabi, memandang ke arah Makam Nabi dengan syahdu. “Nak keluar dah?” Saya bertanya Nisha. Kami keluar dari Raudhah dengan perasaan cukup puas. “Puas Bu… semua doa Nisha sempat baca, bukan doa peribadi saja, tapi 4 doa penting tu dan doa yang kawan-kawan pesan…” Kami sama-sama bersetuju, “Syukur sangat polis purdah tu beri kita lambat masuk…”

Kami berjalan-jalan di kawasan luar masjid. Selalunya pintu tandas sudah ditutup. Tetapi malam itu, walaupun sudah lewat, pintu ke tandas masih terbuka. “Ibu nak wudhu’ dan masuk ke masjid semula, nak balik lambat sikit malam terakhir ni, Nisha boleh tunggu tak?” Saya tahu dia sudah keletihan. “Boleh, tapi Nisha tunggu Ibu sambil tidur boleh tak?”, jawab Nisha. “Boleh, niat iktikaf, tidurpun nanti dapat pahala.”

Kami pun turun mengambil wudhu’ dan masuk ke masjid semula. Memang ramai yang masih di dalam masjid. Saya solat dan mengaji, menikmati malam terakhir di Masjid Nabawi…damainya, indahnya, nikmatnya…

No comments: