Tuesday, May 29, 2012

No Limits!


















Boleh atau tak boleh sebenarnya sangat subjektif.  Ianya berada dalam pemikiran. 

Saya tahu dan saya percaya – semua perkara sebenarnya dikuasai oleh pemikiran saya sendiri.  Ianya sesuatu yang perlu diingatkan berulang-ulang kali.  Semangat boleh naik dan turun.  Kemahuan juga boleh naik dan turun.  Sebab itu jugalah saya percaya, perlu ada satu sebab yang sangat jelas dan kukuh mengapa saya mahukan sesuatu.  Ianya akan menjelaskan tujuan dan niat.  Bila berdoa, tujuan dan niat inilah yang akan membuatkan airmata berjurai-jurai mengharapkan Allah memberikan apa yang diminta.  Semangat dan kemahuan inginkan sesuatu akan terus meluap-luap bila saya faham sebabnya mengapa.  Tujuan inilah yang akan membezakan samada saya mempunyai kemahuan yang tinggi atau kemahuan yang kuat.

Ketika program, ada satu video yang amat saya gemari bertajuk “Everest”.  Ianya sangat memberikan inspirasi.  Airmata saya akan sentiasa tergenang di kelopak mata setiapkali menontonnya, walau sudah menontonnya beratus kali bersama peserta.  Ianya menyentuh perasaan dan menegur saya dengan lembut, mengingatkan saya berkali-kali – kalau hendak seribu daya... (dalam kata lain, jika betul berkehendak, tak cukup hanya dengan satu daya saja).
[Klik untuk menonton Everest]

Pengalaman Eric sentiasa mengingatkan saya – orang yang buta tetapi mempunyai visi, adalah jauh lebih baik berbanding orang yang boleh melihat tetapi tiada visi.  [Baca Blog Eric]

“The only thing worse than being blind is having sight but no vision.” Helen Keller

Walau buta, tiada siapa yang boleh tentukan apa yang kita boleh buat dan apa yang kita tak boleh buat.  Apatah lagi jika kita celik dan sempurna!  Hanya pemikiran sendiri yang menetapkan batasan.

Dua minggu lepas, saya ternampak Eric lagi dalam rancangan Expedition Impossible.  Rancangan ini lebih kurang seperti The Amazing Race, malahan producer yang sama.   Kumpulan Eric bernama No Limits, dan Eric masih ditemani rakan baiknya Jeff.

Dalam video Everest, Eric takut-takut mendaki Everest.  Tapi dalam No Limits, dia sudah tiada beza dengan orang yang celik.  Dia mampu berkayak melepasi air yang deras dan berpusing-pusing, dia berlari bagai boleh melihat, melompat, berenang, mendaki bukit, menuruni curam, menaiki unta dan membuat terjunan udara.  Dalam kekurangannya, kumpulan Eric menjadi pesaing hebat, sentiasa dalam tempat ketiga teratas, dan kumpulan yang kekal dalam pertandingan, sehinggalah menjadi salah satu 4 kumpulan ke finale.

Dalam No Limits, saya melihat kekuatan kita sebagai manusia – tolong menolong, bersatu hati, berlemah lembut, sabar, cekal, mengawal emosi, memahami, mempunyai matlamat dan visi, bercita-cita tinggi dan 1001 kekuatan yang lain.  Dalam No Limits, saya juga melihat kelemahan diri sendiri.  Dan saya tahu, kelemahan diri jika diperbaiki akan menjadi satu kekuatan dan kelebihan.


Melihat Eric, saya bermuhasabah... apa lagi yang saya rungutkan?

Melihat Eric dan Jeff, saya melihat diri... saya mahu menjadi sahabat yang sedemikian.

Boleh atau tak boleh? 

Benarlah ianya sangat subjektif!

_________________________________

Kepada anak-anak, Selamat Bercuti Sekolah.
Jangan lupa siapkan homework!


_________________________________


Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
- Surah Ar-Ra’d (ayat 11)


When we can no longer change a situation, we are challenged to change ourselves.
- Viktor Frankl


__________________________________


Nota:

Video Everest merupakan salah satu video dalam program Leadership Greatness - Great Leaders, Great Teams, Great Results.  Video Everest yang terdapat di YouTube hanya sedutan ringkas sahaja.  Untuk mengetahui lebih lanjut tentang program, klik Leadership.

Sunday, April 22, 2012

My Dream Gadget.

Amni suka sungguh bercerita tentang apa yang dialaminya di sekolah.

Bila dia teruja, mulutnya bercerita tanpa henti. Rabu lepas,dia bercerita tentang karangan Bahasa Inggeris yang dibuatnya di sekolah - My Dream Gadget. Dia menulis tentang Ipad miliknya dan mengapa dia sukakannya, dan "her dream" jika boleh menggunakan Ipad di sekolah.

"Ibu, Amni tulis 10 sebab."

Waduh, banyaknya sebab!

Ipad Amni - dengan wall paper Hatsune Miku
























Pertama, Ipad tersebut  boleh memberitahunya kesalahan Grammar bila dia menulis personal journal di notes jadi karangan tak akan silap Grammar dan ejaan. Kedua, boleh menyemak homework di facebook kalau lupa boleh tanya di Group 4 Zamrud (by the way, dia yang wujudkan group ni). Ketiga, berskype dengan kawan-kawan untuk group discussion. Keempat, membuat homework dan email terus ke cikgu (her dream). Kelima, buat rujukan di Google, edit dan type di notes, kemudian hantar terus ke cikgu dengan email atau print terus dari Ipad dengan eprint (her dream jugak). Keenam, bawa Ipad ke sekolah menggantikan buku jadi beg ringan je dan tak berat (also, her dream). Ketujuh, download semua buku teks dalam bentuk ebook dan susun buku dalam 'rak buku ibook', jadi klik je bila nak baca buku dan boleh letak bookmark (adoii...besarnya angan-angan). Kelapan, buat latihan on line dan simpan semua markah online. Ketujuh, share nota dengan kawan-kawan dalam Dropbox (Dropbox?). Kelapan, buat senarai homework dalam Reminders. Kesembilan, bila sakit, attend class dengan Skype (her dream atau she is dreaming?). Akhir sekali kesepuluh, belajar bahasa Jepun dan Arab dengan WordUp.

Dalam riuh mulutnya bercerita, tiba-tiba dia menambah, "Oh ya, one more thing yang Amni tulis, kalau boleh kat sekolah ada Wifi supaya senang online sebab Ipad Amni tak de broadband. Kalau boleh Unifi sebab boleh download cepat. Kalau takde wifi, hotspot pun boleh jugaklah..."

Terangkat kening saya.  Anak sapa ni?

Hmmm...talking about Generation Y? 
(Harap teacher English Amni tak pengsan...)

__________________________________


Once upon a time, when there was only a black and white TV....with 2 channels.  And, my dream gadget was a color TV... Itupun sebab nak tengok sangat The Incredible Hulk tukar jadi hijau. 


Hmmmm....when was that?

Wednesday, March 28, 2012

Lega.

Perkembangan terkini tentang 2 kes culik di Kuantan dan Shah Alam memang banyak memberi kelegaan di hati saya seorang ibu.

Lega kerana sedikit sebanyak saya percaya semula bahawa kehidupan di Malaysia masih selamat. Lega kerana kes tersebut bukan kes "serial kidnapper". Hati ibu mana yang tidak risau bila memikirkan ada penculik atau geng van putih yang sedang bermaharajalela menculik anak gadis sesuka hati, di tempat yang paling hampir dengan rumah dan dalam keadaan berteman, pada hari siang terang benderang. Ketika mendengar berita-berita ini hampir setiap hari, saya rasa sungguh tidak selamat. Terasa bahaya berada di mana-mana. Kelekaan boleh membawa penyesalan ke akhir hayat. Saya tidak benarkan anak-anak keluar rumah, pastikan mereka menunggu kereta di dalam kawasan sekolah, dan tak boleh bermain di padang permainan.
Keterlaluankah saya? Mengenangkan Sharline yang 
masih gagal ditemui...saya rasa tindakan saya amat berpatutan.
Saya tahu anak-anak bosan terperap di rumah. Tapi itulah kesannya bila keselamatan kita semua sudah mula terancam. 

Dan bila kes culik rupanya kes lari... saya lega teramat-amat. Sekurang-kurangnya, 2 kes ini bukan diculik oleh geng penculik yang sama yang sedang berlegar-legar di luar sana. Dan saya berdoa agar serial kidnapper ini tidak wujud. Namun, waspada perlu tetap waspada.

Dalam konteks yang lain, saya bersimpati dengan 2 ibu yang terlibat. Cetek sungguhkah fikiran anak-anak gadis kita sekarang?  Ibu-ibu ini memberitahu media anak gadis mereka sangat baik dan mendengar kata. Adakah itu kenyataannya anak gadis kita sekarang? Di depan kita lain, di belakang kita lain?

Saya lihat telus ke wajah anak-anak saya...adakah saya mengenali siapa mereka di belakang saya?  
Penculik boleh mengambil anak saya, tetapi tanpa penculik pun saya masih boleh kehilangan mereka terutama bila anak-anak ini sudah hilang diri mereka yang sebenar.  Mereka hilang bersama nilai dan jati diri yang hilang.
Dalam tangisan, kita hanya mampu berdoa agar mereka menemui jalan pulang!

Nota buat anak-anak:

Larilah ikut pintu hadapan...

Anak-anak semua! Usahlah lari dari rumah. Pilihan itu sudah terbukti salah. Walau susah, walau tertekan, usahlah lari!

Namun andainya sudah nekad, maka larilah jauh-jauh, usah menoleh lagi. Usah lari separuh jalan. Larilah bersungguh-sungguh.  Buktikan pilihan kamu betul, jika kamu yakin ianya betul. Moga Allah membantu kamu. Dan jika satu ketika kamu mahu menjenguk kami, masuklah dari pintu hadapan. Usah mencuri-curi ikut pintu belakang. Kami akan bukakan pintu...

Tuesday, March 13, 2012

1 Million Policy.

Satu hari saya mendapat satu panggilan telefon yang jauh di luar jangkaan saya.
“Asnija, ini Johari ni...”
Lama saya cuba mengingat, dan satu yang saya ingat ialah Johari Takaful Prudential.  Saya pernah bercerita tentang beliau dalam entri [A moment of truth].

Saya bertanya khabar, terperanjat kerana dia membuat panggilan tanpa diduga.
“Ada apa-apa yang saya boleh tolong?”  Terus saya bertanya.  Dalam kepala, mungkin dia gagal menghubungi adik saya dan mahukan bantuan saya.

“You dah tolongpun!”  Jawapan Johari lebih membuatkan saya tertanya-tanya.
“I cari blog you punyalah lama....nasib baik I masih ada no. handphone you.”

“Apa cerita ni?”  Saya bertanya lagi, sungguh-sungguh tak ada clue.
“Ada sorang pembaca blog you mencari saya, nak dapatkan Takaful.  Dia kata tahu tentang saya dari blog you.  Sayapun carilah you punya blog  Bila dah jumpa blog you, mencari lagi entri yang mana satu.  Akhirnya baru terjumpa.”

“Your reader beriya-iya nak I uruskan Pelan Takaful dia.”
“Berapa banyak?”

“1 million policy.”  Wow!  Banyaknya.  Terpegun saya.
“Alhamdulillah!  I am happy for you.”

“Inilah yang saya call nak ucap terima kasih banyak kat you.” (Ahaa!  Barulah terungkai semua kehairanan saya.)

“Ohh...tak ada apa sangatpun bantuan saya.  Orang kata, kalau servis you bagus, pasti semua orang suka rekomen. You jagalah client you baik-baik, moga-moga bertambah-tambah rezeki you ye!”
Bukan setiap hari kita terpijak rezeki 1 juta.  Bila ianya terpijak, bukan pula dicari, itu namanya rezeki datang menggolek-golek.  Namun ia bermula dengan diri kita.  Jika kita berikan yang terbaik, pusingan baik akan berbalik pada kita juga.  Kerana, semua orang sukakan yang baik-baik saja.  Bila mereka suka, mereka bercerita.  (Jika tak baik, mereka juga bercerita.)  Adakalanya, bila dah suka sangat, orang rekomen beriya-iya.  Orang pula yang buat “marketing” untuk kita.  Dan bila dah orang rekomen, lebih mudah orang percayakan kita.  Lebih ramai yang suka berurusan dengan kita.

Sekarang tidak seperti zaman sebelum google.  Sekarang, orang membeli berdasarkan apa yang mereka baca.  Dulu, bila ingin makan di sesebuah gerai, fomulanya mudah, orang akan ke gerai yang ramai pelanggan, “kalau dah ramai orang makan di situ, mesti sedap-lah tu...”
Fomula sekarang, “Kalau dah banyak blog cerita kedai tu best, maka betullah tu...”

Tahniah buat Johari, moga 2012 semakin murah rezeki.  Pada sesiapa yang sedang mencari-cari Pelan Takaful, dan mengharapkan “after sales service” yang bagus, bolehlah hubungi Johari di 019-2883361.

Kepada silent reader yang  saya maksudkan, terima kasih kerana percayakan cerita saya.  Semoga mendapat khidmat yang terbaik.  Saya yakin Johari akan melakukan yang terbaik buat Puan sekeluarga.  Harap Johari akan menjaga akaun ini sebaik-baiknya agar kepercayaan terus kukuh.
Untuk the next 1 million...akan menjadi milik siapa agaknya?

Monday, March 12, 2012

Senaaaanggg je....

Kadang-kadang ilmu ni boleh datang dari sumber yang tak disangka-sangka.  Dan bila tak diduga, ianya boleh masuk jauh ke dalam hati.  Melekat dan berbekas!

Satu pagi yang indah...dalam perjalanan menghantar Amni ke kelas swimming, tiba-tiba je dia bersuara.

"Budak lelaki dalam kelas Amni semua jealous...diorang nak jadi orang perempuan...”

Dalam terperanjat, saya menyoal balik, “Kenapa nak jadi orang perempuan?”

“Ustaz cakap, orang perempuan senaaaaangg je nak masuk syurga...”  (Sebut “senang” dengan gaya memanjang.....)

“Ohhhh....ye ke?  Best nyerrrr....”  Jawab saya.

"Senang je, Bu.  Buat 3 perkara je dah boleh masuk syurga.  Pertama solat, kedua taat pada Allah, ketiga taat pada suami.  Senang je...Amni pun dah ingat.  Lepas tu semua budak lelaki jealous, sebab senang sangat...”  Amni bercerita dengan semangat dan penuh keterujaan.

Suami mengerling saya, “Dengar tu, Bu!  Senang je...”

Sepanjang perjalanan selepas itu, saya asyik teringat-ingat cakap budak-budak Amni.  Ianya sangat “innocent” tapi berjaya masuk ke dalam hati. “Senaaaangg...je....”

Ya betul!  Senaaaanggg jer..... Tapi kenapalah yang senang tu jadi susah sangat? 
__________________________________________________________


Di sebut dalam satu hadis Nabi SAW, 4 syarat wanita ke syurga:
  1. Jaga solat 5 waktu.
  2. Berpuasa Ramadhan.
  3. Jaga kehormatan dirinya.
  4. Taat pada suami.

Friday, March 9, 2012

The Art of Googling.

Masih lagi cerita tentang Google…

Minggu lepas, salah seorang peserta program saya (kebetulan dia dari syarikat berkaitan internet) berkongsi maklumat tentang “The Art of Googling”.  Memang saya terlopong dibuatnya.  Baru saya tahu google saya hanyalah biasa-biasa saja.   

Rupanya ada orang yang “seriously” dan “professionally” meng-google maklumat untuk rujukan dan kajian.  Rupanya ada kaedah tertentu untuk meng-google agar jumlah carian yang berjuta-juta dapat dikecilkan kepada satu carian yang tepat dan spesifik.  Ini bukan saja dapat menjimatkan masa malahan mengelakkan dari “pening kepala” – orang kata paralysis by analysis, too overwhelmed with data!  Bayangkan bila perlu melihat ke setiap satu carian, tetapi mendapati bukan itu yang kita mahukan.  Kalau 10 laman web kita pergi…memang membuang masa namanya.  Bukankah senang bila kita terus pergi ke satu saja hasil carian dan ianya pula yang paling tepat seperti yang kita mahukan.  Carian jadi sangat efisyen dan produktif.   Meng-google pun ada seninya!

Sekarang ini, “meng-google” sudah seperti satu cara hidup.  Bila ingin beli sesuatu, perkara pertama – kita google dulu!  (Dulu yang kita selalu dengar, kita minum dulu!)  Bila ingin pergi ke sesuatu tempat samada untuk bercuti atau tujuan kerja – kita google dulu!  Bila inginkan jawapan dan kepastian – ayat yang biasa kita dengar ialah, “Cuba google….”  Bila nak masuk dapurpun, sudah jadi kebiasaan – kita google dulu resepi!  Bila nak kemana-mana – kita pergi ke Google Map dulu!  Malah nak buat mileage claim pun kita akan merujuk Google Map.  Wah, canggih!

Kadang-kadang terfikir juga, macamana kehidupan saya sebelum era Google dulu?  Teringat waktu nak menyiapkan project paper sebelum era Google.   Selalunya kenalah menapak…turun naik bas untuk sampai ke perpustakaan.  Ketika itu tidak pula terasa leceh dan lambat.  Tahap kesabaran masih sangat tinggi.  Tapi sekarang…bila ada masanya kelajuan broadband merangkak-rangkak, bila tekan butang “search” hampir lima minit menunggu jawapan….tensionnya bukan main, geram sungguh…slow nyer….slow nye!   Tutup laptop, terus pergi ke tempat yang ada WIFI.  Hah!  Baru lega bila semuanya laju.   Sekarang semuanya kena cepat.  Speed is everything!  Kita mahu, sebaik saja menekan butang “search”…jawapan muncul sekelip mata.














Kebiasaan meng-google jadi lebih sebati dalam aktiviti seharian bila handphone menjadi sangat pintar.  Dulu sebelum zaman “smart phone” dan “Iphone”, jika ingin meng-google sesuatu mungkin sedikit rumit kerana perlu buka “laptop”, pasang suis, sambung ke internet atau broadband, tunggu dalam 5 minit, baru boleh mulakan pencarian.  Tapi sekarang ini ia telah berlipat ganda pantasnya..  Pernah sekali saya dan suami terpusing-pusing memandu mencari keropok ikan, suami terus menyarankan, “Cuba you google, mana tahu ada alamatnya di Puchong ni...”  Surprisingly...memang betul ada!  (Lepas ni nak cuba Google tempoyak, budu dan cencalok…)

Dalam satu insiden lain, ketika sedang lunch dengan rakan , terdengar pula satu lagu lama dari kedai menjual CD dan DVD  tapi lupa pula tajuknya.  Saya sekadar berbual biasa dan bertanya, “Eh, apa tajuk lagu ni ye?  Dulu famous kan masa era-era kita…” 

Rakan saya mengiyakan, dan dia juga lupa tajuk lagu tersebut.  Tiba-tiba dia bersuara semula memberi jawapan.  Kagum dengan daya ingatannya yang tiba-tiba dapat mengingat, saya memujinya, “Wah, baguslah you boleh ingat cepat!”  Dia ketawa, “Mana ada…I baru google-lah…”  Tak sangka pula dia sempat meng-google dengan Iphone.

Dan semalam, selepas solat Zohor di surau pejabat, tiba-tiba tak pasti tentang satu syarat solat berjamaah…terus saya capai handphone dan meng-google-nya!  Wah, terus dapat jawapannya, bersekali dengan kitab rujukan!  Alhamdulillah! Kalau tidak, tak pasal-pasal solat saya tak sah.

Rasanya, alasan “saya tidak tahu” sudah tidak lagi relevan!  Ilmu sudah tiada batasannya, hanya jika kita bijak mencari dan mahu mencari.

Apakah perkara paling “amazing” pernah anda Google?   Mungkin anda ada pengalaman yang menarik.  Marilah kongsikan, agar kita semua sama belajar.



(Nota: Bila mendapat maklumat dari Google, paling penting perlulah menyaring maklumat dan memastikan sumbernya boleh dipercayai.   Sebab itu…mencari maklumat di Google adalah satu seni!  Dengan kata kunci yang tepat dan khusus, maklumat yang anda perolehi boleh menjadi satu ilmu yang tidak ternilai.  Hati-hati!  Sepertimana dunia realiti, di dunia Google juga ada ramai penipu.)