Friday, April 29, 2011

Dua Doktor, 3 Ibu.



Bulan ini, saya berkenalan dengan 2 orang doktor, dengan 2 isu yang sama – isu anak-anak.  Kedua-dua mereka meluahkan perasaan bagai sudah kenal lama dengan saya.  Kareer kami berbeza, peranan di tempat kerja juga berbeza. Namun, peranan kami di rumah pastinya sama.  Kami bertiga adalah ibu.  Dan kalau sudah namanya “ibu”...masalah tetap sama, cabaran tetap sama, punya kebimbangan yang sama. 
 
Dr. Zai (bukan nama sebenar)  menelefon saya ketika hari merangkak senja.  Dia mendapat nombor telefon saya katanya dari adiknya yang merupakan “client” saya.  Saya amat kenal suara seorang ibu, mendalam rasa perihatinnya, tulus rasa kasihnya pada anak.  Dia bercerita tentang anak lelaki sulongnya...tidak punya cita-cita, tidak mempunyai azam, tidak serius dengan hidup, merokok, mudah patah semangat, terlalu releks....dan satu persatu saya dengar.  Saya cuba memahami hasratnya mahukan anak lelakinya menjadi seorang doktor seperti beliau, meneruskan legasi keluarga, membangunkan klinik ibunya.  Harapan itu sangat besar.  Namun anak memberontak, ingin menjadi pilot.  Ibu memberi pendapat, anak memberi hujah, akhirnya anak berjaya dengan pilihannya.  Selepas 3 hari berkursus untuk menjadi pilot, anak lelakinya balik ke rumah... “Tak best-lah jadi pilot...”
Umur semakin meningkat, anak pula masih tidak tahu hala tujunya.  Ibu mana yang tidak bimbang?

"Nija, nak buat macamana ye?”  Doktor Zai meminta preskripsi dari saya, walau belum sempat saya mendiagnosis.  Diri rasa kecil...namun dalam hati saya menjawab....just don't stop being his mom! 

Dr. Yan pula (bukan nama sebenar) saya kenali ketika dia merawat Amni.  Cara dia bertanya tentang simptom-simptom penyakit Amni, membuka paradigma saya yang sempit.  Amni sering mengadu sakit kepala, hingga akhirnya jatuh demam, muntah-muntah dan perlu dimasukkan ke hospital.

“Bila selalunya dia pening kepala?” (Saya tidak perasan.)

"Bila nak ujian ke? Bila aktif bermain panas-panas, balik sekolah, bila dia excited? Bila...?” Soalnya lagi.  (Ehmm....saya tidak perasan.)

“Pening dia kerap macamana? Sebulan berapa kali?” (Alamak....saya tidak perasan.)

“Adakah peningnya semakin teruk atau sakitnya sama saja setiap kali?” (Lagilah saya tidak perasan.)

I feel bad...I feel really bad...

Ketika mula berjumpa Dr. Yan, aduan saya.... “Dia selalu mengadu pening kepala....”

Seperti Dr. Zai, saya bertanya Dr. Yan, "Nak buat macamana ye, doktor, bila dia asyik pening macam tu?" 

Dan, soalan-soalan Dr. Yan membuatkan saya tersedar yang saya “tahu masalah anak” tapi “tidak mendalami, menyelami, memahami, memerhati” dengan secukupnya untuk membezakan samada masalah Amni adalah “tanda-tanda” atau “punca”, “symptom” atau “sickness”.  Seperti jawapan saya pada Dr. Zai, rasanya jawapan itu terkena pada saya semula.  Bila anak mengadu pening, what to do? Jawapannya..."Just be her mom!  Observe to really know the answers."

Lama di hospital, memberi peluang saya menjadi rapat dengan Dr. Yan.  Adakalanya bila dia tidak perlu berkejar ke kliniknya, dia bersembang panjang dengan saya.  Macam-macam yang kami bualkan.  Satu hari, kami bersembang tentang kejayaan anak-anak.

“Anak saya dapat 1A je dalam SPM, Asnija “  Dia bercerita.

“So, what?”  Sambungnya lagi.

“Selalunya orang fikir, kalau dah anak doktor, mesti pandai macam emaknya.  Orang tak expect dia dapat 1A...”  Dia bersuara lagi.  Saya mengangguk-angguk.

“Tapi, itu pencapaian akademik saja, paling penting kalau dia dapat 9A dalam solat dia, taat pada Allah, itu yang lebih baik.  Yang penting bila saya lihat dia sudah berusaha belajar.  Mungkin rezeki dia tidak dalam pencapaian akademik.”  Katanya lagi.

“Anak saya ada tanya, mama tak malu ke Wan kerja pelayan kedai.”  Dr. Yan makin rancak bercerita.

“Saya jawab, nak malu sebab apa? Wan kerja dapatkan rezeki yang halal.  Mama tak malu, malah bangga.  Kalau Wan bergaji besar, jadi doktor, jadi engineer, tapi kalau kerja tidak amanah, menipu, makan rasuah, itu lebih memalukan mama.”  Sambung Dr. Yan.  Kata-katanya amat mendalam.  Saya belajar sesuatu...Saya terfikir sesuatu...

Dr. Zai, tegas menetapkan apa yang anaknya perlu jadi.  Dr. Yan, membiarkan anaknya membuat pilihan.  Ibu mana yang tidak mahukan anak-anak berjaya?  Ibu sentiasa mahukan anak-anak lebih berjaya daripada mereka, mahukan anak-anaknya punya masa depan yang lebih cerah, kerja yang lebih bagus, pencapaian akademik yang lebih baik.  Niat ibu sentiasa niat yang baik.  Cuma mungkin terlalu berniat baik adakalanya tidak perasan memberi tekanan pada anak-anak.  Adakalanya terlupa, yang baik itu...baik untuk siapa sebenarnya...Yang ibu mahukan itu, kemahuan siapa sebenarnya...

Ibu juga seorang manusia...adakalanya boleh tersilap pertimbangan...ada banyak kelemahan dan kekurangan.

Dr. Zan punya prinsipnya sendiri.  Dr.Yan juga mempunyai pegangan tersendiri.  Saya sebagai ibu, juga ada pendirian tersendiri.  Tiada yang betul, tiada yang salah.  Anda juga ibu (atau bapa) seperti saya, pasti ada amalan tersendiri.

Jika yang kita buat, bersandarkan pada prinsip kasih sayang, tanggungjawab, prihatin, menjalankan amanah, mendidik, memimpin dan 1001 macam prinsip lain yang semuanya terkandung dalam Al-Quran, pastinya, kita tidak tersilap.  Selebihnya, hanya akan berlaku dengan izin Allah...

Kita sebenarnya mendidik pemimpin keluarga yang akan datang.  Membesarkan anak-anak, sebenarnya membesarkan cucu dan cicit kita.  Kita hanya boleh mendidik sebaik yang kita mampu, anak-anak akhirnya akan memilih laluan mereka sendiri...dan jangan lupa bekalkan mereka peta yang betul...

Anak-anak (seperti kita juga dulu), selalu beranggapan ibubapa mereka salah, mereka lebih betul, kita tidak memahami.  Semakin kita betul, adakalanya, semakin mereka bencikan kita.  Tak apalah...
Satu ketika nanti, mungkin satu masa yang sangat lama....bila sampai masanya...bila mereka akhirnya berkata, “Betullah macam yang ibu katakan dulu.....nasib baik ibu beritahu...terima kasih, Bu!”, ketika itulah kita tahu kita sudah menjalankan tugas dengan baik...
That’s the time when we know we had accomplished a significant thing...


To all my babies, 3 of you...I love you so much!  I could give my life to all of you!  Sungguh ibu sanggup berkorban nyawa...dan sememangnya sudah pernah berkorban nyawa...







Untuk Dr. Zan, it’s ok.  Our job is to give them “the map”.  They may use it, or they may not.  One day, when they really messed up and lost, they know they have “the map” that they can refer to.  Our job is not to make them use it...that's their decision...

Untuk Dr. Yan, you inspire me!  Thank you...

Selebihnya, doa...doa....doa....
Doa ibu, memang tak terkira makbulnya!
SELAMAT HARI IBU...

Saturday, February 19, 2011

Budak sekarang...

Bukan senang nak senang....
Dan bukan susah nak senang...

Yang senang ialah tidak berbuat apa-apa....goyang kaki....
Yang susah ialah bila terpaksa buat itu dan ini...goyang tangan...



"Hmmm....susahnya nak senang....."
Mungkin itu yang si kecik ni fikirkan...




Teringat masa kecil dulu...multi tasking sungguh sebagai anak sulung.  Angkat air berbaldi-baldi ke atas rumah untuk membasuh pinggan, kemudian menyapu satu rumah, basuh pula tangga kayu yang penuh dengan tapak kaki ayam, kemudian basuh baju dengan tangan, lepas tu menyiang ikan pula.  Menjelang petang, teringin benar bermain dengan kawan-kawan, tetapi kena tunggu di rumah menunggu orang yang datang membeli aiskrim.  Sambil itu, sempat juga membuat kerja sekolah dan latihan matematik.


Tapi anak-anak sekarang, semuanya berkira.  Sudah biasa senang, bila susah sedikit, panjang keluhannya.  Tapi jika tidak dibiasakan susah, nanti kurang pula daya tahannya.


Realiti kehidupan tidak semuanya manis-manis belaka.  Yang pahit, yang perit, yang jerih merupakan asam garam kehidupan.  Melatih anak-anak untuk biasa susah...memang susah.  Dari kecil mereka perlu faham kenyataan ini.  Adakalanya realiti hidup boleh jadi terlalu kejam.  Tidak semua penat lelah menerima imbuhan setimpal, adakalanya tidak mendapat penghargaan pun.  Dan mereka juga perlu menyedarinya dari sekarang, tidak semestinya setiapkali berjaya dalam peperiksaan akan mendapat imbuhan...


Kita sendiripun...tidak semestinya setiap tahun menerima bonus walaupun kita mencapai semua KPI yang disasarkan.  Adakalanya penat berkerja berhempas pulas, tetapi tiada siapa menghargai.  Memang itulah realiti kehidupan...tidak hanya yang manis-manis sahaja.


Budak-budak sekarang...hanya yang manis-manis saja dalam fikiran mereka....susah benar mahu menyinsing lengan...

Tuesday, February 8, 2011

Bila patah hati...

Lama juga saya tidak berjumpa dengannya, hampir 4 tahun. Jadi bila bertemu, memang seronok bersembang. Hampir setengah jam bertukar-tukar khabar dan apa yang terkini tentang diri masing-masing. Dia kelihatan seperti biasa, jadi saya juga bertanya perkara-perkara yang biasa.


Memang saya tahu tentang kisah rumahtangganya, tetapi ketika itu, tidak pula tergerak hati untuk bertanya tentang itu. Sementelah dia nampak ceria, jadi saya beranggapan masalahnya sudah dapat diselesaikan dengan baik. Sambil minum-minum, kami meneruskan perbualan, dan saya tetap tidak bertanyakan tentang perkembangan masalahnya sehingalah dia membuka mulut.


“Kami bercerai juga akhirnya, kak.” Luahnya perlahan. Airmukanya juga berubah dan tidak seceria tadi.


“Baru je...tapi dah rujuk semula....” Sambungnya lagi. Sebenarnya saya tidak tahu untuk menjawab apa.


“Saya hanya mengenangkan anak dan komitmen untuk menyara diri, sebab itu saya setuju untuk rujuk semula. Tapi perasaan sudah tidak ada.” Saya mencari kata-kata tetapi tidak terfikir ayat yang terbaik untuknya ketika itu.


“Alhamdulillah...” Tiba-tiba itu yang terpacul dari mulut saya.


“Maksud akak, Alhamdulillah dah rujuk semula.”


“Sekarang bagaimana?” Soal saya lagi.


“Sekarang ni saya buat apa yang dia suka...walaupun mungkin saya tak suka. Takpelah, asalkan dia suka.” Jawapannya jelas bernada merajuk.


Saya lihat dia memang sudah berputus asa, mungkin merasakan diri mangsa keadaan. Hidup sendiri susah, hidup bersamapun susah.


“Apa kata bermula dengan buat apa yang Allah suka berbanding apa yang suami suka. “ Saya memberikan cadangan.


“Apa bezanya, kak?”


“Bila buat apa yang Allah suka, niat kerana Allah, maka perkara tu jadi ibadah. Bila satu ibadah, kita jadi dekat dengan Allah. Hubungan dengan Allah jadi rapat.”


“Lepas tu?” Soalnya lagi.


“Bila kita jaga hubungan kita dengan Allah, nanti Allah jaga hubungan kita dengan manusia.”


“Suami tak boleh beri kita pahala, tapi Allah boleh...” Pujuk saya.


“Kekuatan dan kegembiraan diri tidak terletak di tangan suami, ianya di tangan sendiri....pilihan sendiri. Bangunkan kekuatan diri agar berasa gembira dengan kebolehan diri. Ketentuan Allah tidak dapat kita membacanya. Hidup sendiri boleh jadi sebab bercerai, boleh jadi sebab kematian suami. Jadikan diri kita kuat untuk menjadi tempat bergantung anak-anak.”


“Orang lain atau suami boleh melukakan hati kita, tapi jangan pula kita patah hati. Bila suami mahu rujuk semula itu maknanya dia masih perihatin untuk bersama. Itukan petanda baik. Usahlah berterusan merundung nasib yang malang...”


“Kalau tiada perasaan pada suami, tak mengapa. Mungkin susah untuk melupakan dan memaafkan. Bergembira dengan anak-anak, berseronok dengan mereka. Sebab, jika kita tak mampu bergembira, kita pun tak boleh menggembirakan anak-anak dan orang disekeliling kita. Fikir kekurangan diri dan perbaikinya. Mungkin ada yang boleh dipelajari dari masalah ini. Kenal pasti apa kekuatan diri dan bangunkannya. Semua manusia berhak untuk bahagia.”


“Doa banyak-banyak agar Allah memberikan petunjuk dan hidayah pada suami. Hanya Allah yang boleh membuatkannya lupakan perempuan tu. Hati kita di tangan Allah, dan Dia boleh bolak-balikkan hati suami dengan sekelip mata. Tapi, kita sendiri perlu berubah terlebih dahulu.”


Sebelum berpisah petang itu, saya sempat berbisik padanya, “Tak pe...semasa suami sihat dia tak mengenangkan kita, asalkan bila dia sakit kita sudi menjaganya...”


Dia tersenyum...tertanya-tanya dengan bisikan saya itu. Saya tidak menjawab, hanya mengangguk-anggukkan kepala.  Dalam hati saya berkata, nanti esok lusa...fahamlah dia tu...


Sepanjang perjalanan pulang, saya turut merasakan kepedihan yang ditanggungnya....berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bagi saya, pucuk pangkalnya adalah rasa percaya. Bila rasa percaya dimusnahkan, harapan turut hilang...kecewanya bukan kepalang...


Bila sudah patah hati...bukan senang memulihkannya. Lebih baik jangan, kerana merawatnya terlalu payah...bagaikan mustahil...


Pernahkah anda patah hati? Kalau pernah....anda tahulah sendiri.....

Saturday, January 29, 2011

Dengar...(Finale)

Saya rasakan pelik, dan saya menyoalnya balik...suara saya agak meninggi kali ini...

“Apasal pulak cikgu nak marah? Tak ada kaitan langsung...Cikgu marah, Amni takut. Ibu marah, tak takut...” Tempelak saya. (Jeng...jeng...jeng...I fail...I fail...I fail....dan saya tahu tu....)

“Nanti semua orang bawak batang pisang tu, Amni je yang tak bawak...mestilah cikgu marah. Cikgu dah pesan suruh bawak. Tak kan Amni nak pinjam kawan punya, diorang pun nak guna jugak. Amni tahu...mesti cikgu marah nanti...” Kali ini jawapan Amni lebih menghairankan saya. Matanya mula bergenang dengan airmata. Saya menarik nafas, bersandar di sofa. Saya tahu saya pasti sudah salah faham. Saya tidak cuba untuk memahami Amni dan permintaannya, tetapi saya pulak yang mahukan Amni memahami saya terlebih dahulu.

Ok...ok...saya sudah tersilap....

Saya mengadap Amni semula, berkata dalam hati, “Asnija, listen to understand...not to reply...”.

“Ok...cuba Amni cerita betul-betul, Amni nak pisang tu untuk apa sebenarnya?”

Cerita Amni seterusnya membawa saya ke Jusco pada malam itu. Bukanlah pisang yang diperlukannya, dan pesannya berulang kali “dengan batangnya sekali”...rupanya ada sebab musabab. Dan saya yang salah kerana gagal untuk memahami. Saya gagal untuk mendengar menjangkaui permintaannya. Walaupun saya bertanya, tetapi untuk tujuan yang tidak relevan langsung. Akibatnya, “an innocent request” bertukar kepada sesuatu yang teramat jauh lari dari konteks asal.

Di Jusco, saya beli bendi dan batang seleri. Di sekeliling rumah saya tidak ada pokok pisang, jadi itu alternatif terbaik. Jika dari awal saya dengar dengan niat untuk memahami, pasti lebih cepat saya menyelesaikan masalah Amni.  Tidak perlu syarahan pertama atau kedua atau ketiga. Paling penting, saya tidak melukakan hatinya dengan menilainya yang bukan-bukan.

Amni memahami arahan gurunya dari perspektif kanak-kanaknya - tidak pernah melihat dengan teliti pokok pisang, dan pelepah pisang.  Dia hanya pernah melihat pisang.  Bila gurunya berpesan batang pelepah pisang, dia hanya dapat menggambarkan sesikat pisang - pisang dan batangnya.  Saya pula menerima pesanannya dari perspektif dewasa....kesian dia...kena marah tak tentu pasal....


Inilah rupanya tujuan dari "pesanan guru" Amni....












Teringat satu pepatah Inggeris – “Dengar...atau lidah akan menjadikan anda tuli.”

Malang sungguh, walau boleh mendengar, tetapi pekak...

Jadi...
Dengar...
Dengar betul-betul....
Dengar dengan mata hati...
Dengar untuk memahami...

(Jangan ulang kesilapan saya...)

Monday, January 24, 2011

Dengar...(Part 2)

Bila petang, saya lihat anggur di peti sejuk tidak disentuhnya langsung. Jadi, saya pergi memujuknya. Namun, Amni masih lagi mahukan saya membelikannya pisang, dan dia berpesan lagi, “dengan batangnya sekali.”





“Mana boleh beli pisang sebiji saja...selalu kan ibu memang beli sesikat terus...” Jawab saya. Pelik juga bila dia meminta sebegitu spesifik “dengan batangnya sekali”. Kemudian, saya terus cuba menasihatinya.

“Tak baik bila merajuk macam ni....marah-marah pulak tu...susah-susah ibu dan abah belikan anggur, mahal tau anggur tu....patutnya Amni cakaplah terima kasih dulu...ini marah-marah pulak...” (Syarahan pertama...)

“Kan berdosa bentak-bentak ibu bapa macam tu....” (Syarahan kedua...)

“Kalau anak orang susah tu, emak bapa dia belikan anggur...mesti suka sangat. Mesti diorang happy. Amni pulak marah-marah....patutnya Amni bersyukur tau...” (Syarahan ketiga...)

“Ye lah...Amni dah pesan pisang...kenapa ibu beli anggur pulak...sekarang dah petang...mesti tak sempat nak beli pisang dah...” Amni menjawab...selepas syarahan saya yang ketiga, dia masih mahukan pisang juga...saya menahan sabar. Saya terus memujuknya, “Besok ye...”

“Besok dah tak sempat...biarlah Amni kena marah dengan cikgu je...”

Aikk...apasal pulak ni?  Tiba-tiba ada bab cikgu...hmmm...

Bersambung.

Sunday, January 23, 2011

Dengar...

“Abah, nanti belikan pisang ye...”

“Belikan dengan batangnya sekali...”

Itu pesan Amni. Waktu itu, pagi Khamis (cuti Thaipusam), saya dan suami mahu ke Giant. Tanpa bertanya padanya, kami terus pergi, dan apa yang kami faham Amni berkirim pisang sesikat, sebab dia berpesan “dengan batangnya sekali...”.

Saya tahu pisang memang kegemaran Amni. Tapi, rasanya baru sangat kami belikannya pisang...asyik pisang saja...jadi kami ingin berikan dia pilihan lain pula. Kerana mengingatkan Amni tidak tahu berpesan buah lain, kamipun kononnya menjadi ibubapa yang prihatin. Kerana sayang....kamipun membelikan Amni 3 jenis anggur....anggur merah tanpa biji, anggur hijau dan anggur hitam. Semuanya kebetulan nampak sangat fresh dan rangup.

Sampai di rumah, Amni terus menerpa kami.

“Ada tak pisang, Bu?” Tanya Amni sambil menyelongkar plastik beg satu demi satu.

“Ibu beli anggur pulak...kan jemu asyik pisang je...hari tu baru makan pisang...tukar-tukar lah...” Jawab saya, sambil menunjukkan beg plastik yang berisi anggur-anggur tersebut. Selalunya Amni akan kegirangan dan menyuruh saya membasuh anggur supaya dia dapat terus memakannya. Tapi hari itu dia merespon dengan cara yang saya tidak sangka langsung. Sebaliknya, Amni seperti kecewa dan marah pula kepada saya.

“Ibu ni....orang cakap pisang, kenapa beli anggur pulak?” Dia bersungut-sungut dan merajuk.

Saya terperanjat juga bila dia bersikap begitu, sedangkan saya dan suami pula kepenatan, ikutkan hati, saya mahu benar memarahinya semula...dalam hati saya...anak betuah...tak berterima kasih langsung....

Mmm...apasal beriya benar Amni mahukan pisang?

Bersambung...