Tuesday, September 11, 2012

Biar campak-campak asalkan canggih...

Bila malas, semua benda nak buat cara yang senang dan cepat.  Lagi-lagi bila bab memasak.  Motto malas memasak saya, biar campak-campak, tapi canggih...

Dari hari Rabu Nisha dan Amni beritahu, "Sabtu ni ada jamuan Raya kat sekolah." (Ok, statement tu saya boleh terima...)

"Ustazah kata masing-masing bawa makanan." Itu kata Amni.
"Jamuan pengawas ni secara pot-luck." Itu pula kata Nisha.

2 statement ni yang saya kira "meminta saya masak sesuatu buat mereka", ada maksud tersirat dalam yang tersurat.

Perbualan itu tidak ada apa-apa kata putus. Mereka tidak meminta saya memasak secara khusus dan saya juga tidak menawarkan diri secara khusus. Ianya perbualan yang tergantung.  Akhirnya, Khamis mereka "memancing" lagi.

"Ibu tolong buat karipap telur boleh?". Saya mengangkat kening.  Adoiii mak....karipap telur?  Nak memusing-musing bagai. [Baca cerita tentang karipap pusing telur]

"Blueberry cheese tart?"  Nisha cuba-cuba memancing lagi.  Saya membeliakkan mata pula.

Perasan saya keberatan, Nisha cuba strategi lain, "Kalau tak pun, bihun goreng ke, nasi impit ke, rendang ke?"  Kening saya terangkat makin tinggi...what? Nak masak rendang?  Adoiii...boleh tak minta menu yang senang...maggi goreng ke...

Itu belum menu yang Amni minta saya masak...

Saya membayangkan duduk bersila macam nenek kebayan malam-malam menguli dan mengelim karipap dan menekan pastri blueberry cheese tart satu-satu dan kecil-kecil.  Bisa bongkok nenek kebayan...

Tapi bila melihat kedua-dua mereka, dengan mata bulat mengharap, timbul pulak rasa kesian.

Kalau dah bulat mata macam ni...
memang tak sampai hati...
(Sumber : Website Puss in Boots Movie)
















"Ibu malaslah buat benda remeh macam tu. Ibu boleh buat yang senang je, yang cepat."

"Masak apa, Bu?" Serentak mereka bertanya.

"Tengoklah apa yang ada kat peti sejuk. Yang senang-senang..."

Saya tahu mereka ingin membuat "rayuan" tapi takut dan serba salah.  Baru mereka tahu siapa boss....

Esoknya saya tengok apa yang ada dalam peti sejuk, apa yang saya boleh masak campak-campak, yang senang, yang cepat.

Ini jadinya...

Menu pertama: Oreo Cheese Cake


Yummy...
Sepotong...beribu-ribu kalori...ada berani?

 
Kek yang telah dipotong Nisha...













Daripada buat satu-satu pastri blueberry cheese tart, lebih mudah bancuh je sekali tuang oreo cheese cake...bancuh, tuang, masak....kan cepat....

Menu kedua: Macaroni and cheese (versi "bidan terjun")

Berkeju...lemak...berkrim...


Makan ni dengan cheese cake...
Esoknya kena jogging
pusing padang bola 10x...


























Dari menumis-numis bihun goreng dan mereneh rendang, lebih baik saya masak makaroni and cheese, rebus, gaul, bakar.  Set time, dah boleh releks.  Semua bahan campak je...ikut apa yang ada.

Hari tu, Nisha dan Amni balik tersenyum-senyum.
"It's a hit! Semua licin tak sampai setengah jam..."

Ahaa...kan betul motto saya...Biar campak-campak tapi canggih...padahal menu orang malas...

"Kawan-kawan minta resepi..."

Ini yang susah... Nak kena bersukat bagai untuk jadi resepi...
Jadi khusus untuk kawan-kawan Nisha dan Amni, ini resepi yang auntie cuba balik ingat dan cuba-cuba buat sukatannya.

Anakanda-anakanda semua...ini resepinya...(lepas ni Nisha tag je kat facebook ye)

Oreo Cheese Cake
(Sumpah! Senang...cepat...gerenti jadi!)













Bahan A:
2 peket biskut oreo - buang krimnya dan blend.
1/2 buku mentega buttercup - cairkan dan sejukkan jadi suam-suam.

Bahan B:
2 ketul Philadelphia Cream Cheese (seketul beratnya 250g).
2 biji telur.
1 penutup esen vanilla.
1/2 cawan gula halus (castor sugar).
1 kotak kecil whipping cream (macam saiz susu kotak yang kecil).
1 sudu besar jus lemon (masa ni auntie kehabisan lemon, jadi guna apple cider).
1/2 paket biskut oreo - buang krim dan pecah dua-tiga.

Cara-cara:
1.  Gaul Bahan A, dan tekan-tekan dalam loyang untuk jadi base cheese cake.  Loyang yang auntie guna bentuk bulat diameter 9 inci.
2.  Bakar dalam oven selama 10 minit, suhu 160 darjah celcius.  Bila masak, biar dalam oven, buka pintu oven.
3.  Sambil tu, pukul cream cheese dan gula selama 5 minit.
4.  Lepas tu masukkan telur, esen vanilla, whipping cream dan jus lemon.  Pukul sampai sebati lebih kurang 2 minit.
5.  Masukkan pecahan biskut oreo. Gaulkan.
6.  Tuang adunan cream cheese dalam loyang yang ada base biskut oreo tadi.  Ratakan.
7.  Kalau nak ada corak-corak, ambil sedikit adunan cream cheese, campurkan sikit serbuk koko, kemudian letak di permukaan adunan, garis-garis dengan pisau atau lidi ikut suka hati.
8.  Bakar dengan cara rendaman air - letak loyang kek dalam dulang pembakar, kemudian curah air panas dalam dulang pembakar, jadi loyang kek terendam sikit dalam dulang pembakar yang ada air tu.  Suhu 160 darjah celcius selama 50 minit.
9.  Bila masak, biarkan sejuk dulu, kemudian sejukkan dalam peti ais paling kurang 4 jam.  Kalau semalaman lagi bagus.

* Philadelphia Cream Cheese ni ada tanda halal, dan kalau beli di Bake With Yan, whipping cream brand Anchor pun halal.  Di Giant, ada satu brand yang ada tanda halal Australia, lupa pulak jenamanya.


Macaroni and Cheese













1 peket makaroni
1 peket Mozarella Cheese (cari yang ada tanda halal, dijual di Giant)
1 peket Parmesan Cheese (cari yang ada tanda halal, dijual di Giant)
1 tin mushroom and chicken soup Campbell
1/2 buku bawang besar - potong dadu
4 ulas bawang puting - tumbuk sikit
1 kotak kecil whipping cream (kalau tak ada, 1 cawan susu segar pun boleh, kalau tak de jugak, bancuh je susu tepung jadi secawan)
1 sudu kecil garam.
1 sudu kecil lada hitam (black pepper) yang ditumbuk
1/2 sudu kecil lada putih tumbuk
1 kiub ayam Maggi
1/2 sudu kecil Oregano (kalau ada, tak ada pun ok)
1/2 sudu kecil Basil (kalau ada)
1 sudu kecil Chili Flake (auntie guna Domino pizza punya peket chili flake, sebab tu je ada dalam peti sejuk - next time jangan buang ok!)
4 keping cheese cheddar yang biasanya guna untuk buat sandwich.

(Nota: Auntie guna mushroom and chicken soup sebab senang tak payah mencincang mushroom dan ayam - tinggal tuang je.)

Cara-cara:
1.  Rebus macaroni sampai lembut (dalam 5 minit) dalam air yang telah mendidih yang telah dicampur sikit minyak masak supaya makaroni tak melekat-lekat.  Toskan airnya, dan gaul sikit dengan butter.
2.  Tumis bawang besar dan bawang putih sampai naik bau.  Bila dah kekuningan, masukkan 1/2 cawan air, mushroom soup, kacau supaya mushroom sup sebati dan tak berketul. 
3.  Kemudian, masukkan whipping cream, susu, cheese ceddar, lada hitam, lada putih, garam, kiub ayam.  Gaul rata dengan api kecil.  Cheese tu akan jadi melekit, jadi kacau elok-elok sampai semuanya cair dengan elok.
4.  Lepas tu, campak basil, oregano dan chili flakes.  Rasa mengikut kesesuaian.
5.  Minyakkan sikit loyang pembakar.
6.  Gaulkan adunan cheese dan susu ke dalam makaroni tadi.  Gaul rata.  Tuang dalam loyang.
7.  Tabur mozarella cheese dan parmesan cheese berselang seli.
8.  Bakar dalam suhu 250 darjah celcius selama 10 minit.  Sebelum tu, pastikan oven telah dipanaskan terlebih dulu.

(Tempoh masak - 30 minit)

Blueberry Cheese Tart
Resipi ni auntie kasi next time...
Masak yang 2 tu dulu...















Budak bercermin mata ni wajib
masak guna resepi ni terlebih dulu...
Jangan tau meng-order je...



Anakanda-anakanda pengawas ni...
tersenyum lebar lepas kenyang...
Lepas ni semua mesti terror bakar
cheese cake nih...































Okey...lepas ni, auntie nak rasa pulak korang masak.  Jangan asyik tanya resepi je...kena masak dan tunjuk skill kat emak dan abah masing-masing...

Anak dara...tinggi mana kerja...mesti terror kat dapur jugak ye...

Ikut motto auntie...
Biar campak-campak, tapi canggih...


 

Monday, September 10, 2012

Jom beramal jariah, RM10 je...

Jemputan beramal jariah!

Sumbangan anda semua amat dialu-alukan untuk dana membaik pulih Surau Raudhatul Jannah, Taman Pertama, Sabak Bernam.

Semua sumbangan boleh terus di salurkan ke akaun bank berikut:

Surau Raudhatul Jannah, Taman Pertama, Sabak Bernam.
Bank Rakyat: No. Akaun 220063248878



Nota:

Surau ini ialah surau di taman perumahan ayah saya, dan beliau ialah pengerusi surau tersebut - nama beliau, Haji Imam Asmui bin Rasidin.

Untuk mendapatkan resit sumbangan, emelkan bank-in slip ke asnija.bbp@gmail.com (dalam bentuk imej atau pdf), dengan disertakan nama penuh dan alamat. Sila tuliskan pada subjek emel: Derma Surau. Ini memudahkan saya mengkategorikan emel anda. Insya-Allah, resit akan diposkan dalam masa sebulan dari tarikh sumbangan diberikan.

Jumlah yang ingin dikumpulkan ialah sebanyak RM200,000. Setakat ini, jumlah dana yang baru terkumpul ialah lebih kurang RM40,000.

Semua sumbangan anda diucapkan ribuan terima kasih. Hanya Allah yang boleh membalasnya.

Wasalam.

Friday, September 7, 2012

Salah ke beraya di homestay?

Balik beraya di kampung suami, tapi duduk di homestay...

"Apasal nak duduk homestay pulak?"  Kakak ipar mahu kami menginap di rumahnya.  Ibu mertua tinggal dengannya.

Tapi saya dan suami ada sebab tersendiri.  Rasanya sebab dan tujuan kami satu - agar mudah kami semua melepak-lepak.  Jauh sekali untuk mengasingkan diri, atau "tak nak bercampur orang."

"Kitorang pun teringin nak jadi tuan rumah..."  Itu jawapan simple suami.

Pilihan pertama di Kelebang Jaya.  Rumah dan kawasan memang cantik, lapang dan sangat selesa.  Tapi, feedback keluarga Ipoh, "Jauh tu..."

Akhirnya, mereka dapatkan kami homestay di batu 8 juga, sangat berhampiran dengan rumah emak mertua dan kakak ipar.

Suka....suka...

Pertama kali nampak...
Terus jatuh cinta...


Kawasan depan rumah sangat luas,
tempat main mercun olympik...





















Nak sidai kain...no problem..



















Sampai je..otak terus dapat idea...
Ni best lepak BBQ nih...




















Ruang tamu selesa, bersih dan kemas.



















Ruang menonton dan makan.



















Dapur lengkap dengan peralatan.
Periuk dan kuali besar, rice cooker, toaster,
water filter, peti sejuk, pinggan mangkuk
...semua ada...























Tak lama kami check-in, kakak ipar datang bertandang.

"Wah, besarnya...cantiknya...."
"Jom kita buka puasa sama-sama...pot-luck..."  Itu cadangan K.Long.
"Jom, buat kat sini, okay!"  Saya mempelawa.

Jadi malam pertama kami "jadi tuan rumah"...

Buka puasa hari last...
pot luck...kenyang dan gembira...

Tersandar...tunggu 2nd round...

Macam rumah sendiri...

Sessi menonton bunga api olympik London...
















































Malam Raya jadi sangat meriah.  Kawasan depan rumah sangat lapang.  Jiran sebelah bermain mercun dan bunga api yang hebat-hebat...ala-ala Olympik London 2012.  Suasana jadi tersangat meriah.  Riuh-rendah berkumpul adik-beradik, ipar-duai, sepupu-sepapat.  Suami bertakbir keliling kampung.  Tengah malam baru adik-beradik balik...no problem....rumah mereka kat berdekatan....

"Eh...rumah ni macam rumah korang pulak...terlupa homestay..."  Komen K.Long.

"Esok malam jangan lupa sessi BBQ...confirm..."  Pesan saya.

Esoknya kami bersiap ke masjid untuk solat raya dari "rumah sendiri".  Lepas tu terus ke rumah adik ipar bermaafan dengan emak mertua.  Then, balik rumah untuk sambung makan juadah raya.

Tuan rumah sangat pemurah, menghantar lemang sebatang siap dengan rendang ayam.  Saya sempat masak nasi impit dan kuah kacang, dan beli rendang tok segera di Giant.  Pagi Raya, kami kenyang dengan juadah Raya, betul-betul seperti beraya di rumah sendiri.  Kemudian berposing sepuas hati, bermaafan dan bersalaman.  Tenang, releks, dan privacy....

Bergambar sakan..




Perasan...macam rumah sendiri...























Malamnya...beraya dan makan sakan...sessi BBQ...
Kami jadi "tuan rumah" untuk kali kedua....

Jiran sebelah bermain mercun sakan, entah mana mereka dapat "bekalan".  Kami bertepuk-tangan.  Memang hebat bunga api mereka....

Adik beradik suami dan emak mertua..

sama-sama bakar...
sama-sama makan...

























"Korang beli jelah rumah ni..."  Saran abang ipar.  Kami semua memang seronok sangat sama-sama melepak hingga larut malam. 

Itu pelaburan besar...cadangan yang boleh ditimbang-timbangkan.

"You nak ke duduk Ipoh?"  Usik suami.  Itupun boleh ditimbang-timbangkan.

Kami di homestay selama 4 hari 3 malam.  Sedih pulak bila nak balik.

Bergambar sebelum check-out...
Nak balik Sabak Bernam pulak lepas ni...

Sempat posing masa nak balik...
Nanti datang lagi...



























"Next time kita duduk sini je tau, Bu."  Zaid bersuara.  Adik-adiknya sama bersetuju.

Seminggu kemudian, kakak ipar menelefon, "Bila nak balik Ipoh?  Rumah dah ada, jom makan nasi arab macam buka puasa hari tu..."

Bukan sekadar nasi arab, mee kicap, mee rebus Ramli, nasi venggey, nasi ayam kampung, char kue teow...banyak yang tak sempat makan sebab kedai tutup sempena Raya...

Padah bila teringat...jadi teringin...

"Bila nak balik Ipoh?"  Suami angkat kening...hairan mendengar soalan saya...

Pelik ke?


 

Thursday, September 6, 2012

Tips mudah untuk menjadi kaya raya! Dijamin berkesan!

Ramai yang mahu kaya.
Bukan sekadar kaya, tetapi kaya raya. Duit melimpah-limpah.

Ada yang takut menjadi kaya.  Takut lupa diri.  Cukuplah seadanya.  Ada juga orang kata, biarlah miskin asalkan bahagia.

Hakikatnya, semua orang kaya tahu bahawa wang berjuta tidak menjamin kebahagiaan.  Tetapi orang kaya percaya, wang dapat memberikan lebih banyak pilihan dan membuka lebih banyak peluang.

Kata-kata ustaz sewaktu tazkirah Ramadhan (lupa pulak nama dia), "Orang Islam mesti berazam untuk menjadi kaya raya!"

Dan kata-katanya menjawab 2 persoalan:
1) Kenapa mesti jadi kaya?
2) Macamana nak jadi kaya?

Saya kongsikan jawapan untuk soalan kedua dulu, mesti ramai yang tak sabar nak tahu.

Tips macamana nak kaya!

Mengapa kita bekerja?  Mudah...sebab nak ada duit.

Mengapa kita nak duit?  Simple...nak bayar hutang, nak bayar kereta, nak bayar rumah, bayar babysitter, bayar bil, sekolahkan anak, beli makan minum dan berbagai-bagai lagi.

Kalau direnung-renung, kita perlukan duit selalunya untuk dibelanjakan...

Paradigma itu perlu diubah...

Kita perlukan duit untuk 3 tujuan:
1) Perbelanjaan
2) Simpanan
3) Sumbangan (derma, sedekah etc.) - yang ini selalu tertinggal!

Rezeki pula ada 2 jenis:
1) Rezeki yang kita jangkakan (duit gaji, bonus, komisyen etc. - dah boleh expect jumlahnya)
2) Rezeki yang kita tidak jangkakan (ini kerja Allah - Dia yang tentukan jumlahnya)

Mengapa kita "sempit"?
Sebab, rezeki yang kita boleh jangka selalunya habis menampung perbelanjaan.  Dapat gaji...semua bayaran sudah menunggu...
Kalau nak dikira, duit gaji tu bukan duit kita sebenarnya, tapi duit orang.

Kenapa tiada simpanan?
Sebab, bila dah tolak perbelanjaan, adakalanya cukup-cukup makan, adakalanya negatif.  Nak menyimpan macamana?

Kenapa tidak bersedekah?
Sebab, tak ada duit lebih.  Niat tu ada, tapi duit pula yang tak ada.  Nak menyimpan pun tak ada, apalagi nak bersedekah.  Rahsia yang ramai orang tak perasan - bersedekah, berderma dan berzakat inilah kaedah nak jadi kaya raya!

Tips mudah ini dibawakan khusus dari Ayat 1000 Dinar.  Allah yang kata, sebab itu dijamin berkesan.

Kita sudah lama tahu, duit gaji tidak "melapangkan" kita.  Jadi, tak perlulah merundung nasib yang malang....atau merungut betapa kedekutnya bos kita...  Kita memang dah lama tahu, dengan duit gaji, kita susah nak kaya.

Mulai sekarang, fokus pada rezeki dari sumber yang kita tidak sangka-sangkakan.  Rezeki inilah  yang akan tiba dengan melimpah-ruah.

Macamana caranya?
(Renung dalam-dalam maksud Ayat 1000 Dinar)

1.  Bertaqwa sungguh-sungguh pada Allah.  Apa yang membawa pahala, buat!  Apa yang membawa dosa, tinggalkan!  Allah kata, sesiapa yang bertaqwa sungguh-sungguh, Allah akan berikan jalan keluar.
 
2.  Gembirakan hati ibu dan bapa - beri mereka duit tiap bulan, beri sedikit pun tidak mengapa, RM10 atau RM5 pun tidak mengapa, tanamkan rasa ikhlas dan memberi atas prinsip tanggungjawab dan kasih sayang pada mereka.  Salam dan cium tangan mereka dengan hati yang amat tulus, minta ampun dan minta mereka terima pemberian kita yang kecil dan seadanya, dan minta mereka doakan kita menjadi anak yang soleh/solehah, dimurahkan rezeki supaya dapat memudahkan mereka dengan rezeki tersebut.  Kalau tak cukup duit nak beri mereka, berjimat pada tempat-tempat yang kita boleh jimatkan RM10, dan beri pada mereka.  Contohnya, cuba jimatkan dalam bil h/phone, makan di ofis, tukar pakej ASTRO yang lebih murah, kurangkan merokok, dan banyak lagi.  Cari....mesti jumpa...

3.  Banyakkan bersedekah dan berderma, biar sedikit, tetapi konsisten dan kuncinya....ikhlas, redha, rendah hati pada Allah.  Lagi "sempit", lagi banyakkan derma.

4.  Buka hati menjadi seorang yang sangat pemurah...pemurah dan bijaksana.  Termasuk, bijaksana mengurus kewangan.

5.  Jangan berkira kerana rezeki kita urusan Allah.  Dan kita tidak tahu apa yang Allah akan tentukan untuk kita...be humble about it!

6.  Jika ibu bapa kita sudah tiada, niatkan derma kita untuk menjadi amal jariah mereka.  Buat dengan konsisten supaya mereka kaya raya di sana...

7.  Usah hiraukan dengan mulut orang.  Biar sumbangan kita sedikit, kita memberi bukan sebab kita dah lebih duit, tapi kita memberi kerana kita prihatin dan bertanggungjawab.

8.  Bila memberi, jangan lupa niat...agar Allah terima sebagai ibadah!

9.  Duit gaji kita bukan milik kita!  Tapi duit yang kita sumbangkan...itu duit kita yang sebenarnya...kita akan merasa dividennya di waktu-waktu yang amat kita perlukan...di akhirat nanti...

10. Betul-betul faham dan ikhlas dengan tujuan mengapa kita nak jadi kaya! 

Kesimpulannya, tips mudah untuk kaya dari sumber yang tidak kita sangka-sangka....banyakkan bersedekah, banyakkan amal jariah, tinggikan taqwa....

Tak percaya?  Kalau tak percaya janji Allah, nak percaya apa lagi?

Untuk menjawab soalan pertama pulak, kenapa mesti jadi orang kaya?

Orang Islam mesti jadi orang kaya!  Bila kaya, pilihan kita lebih banyak, peluang kita lebih besar.

Kita boleh menyumbang dengan jumlah sesuka hati, pada jalan mana yang kita mahu.  Palestin boleh, Rohingya boleh, surau di tempat kita pun boleh, pembinaan Tahfiz pun boleh, nak buat masjid sendiripun boleh, nak taja orang kampung kita pergi haji pun boleh, nak buat haji badal untuk arwah ayah/ibu kita pun petik jari je, nak tukar karpet masjid pun tak ada hal, nak beli aircond untuk surau pun tak kisah, nak renovate rumah anak yatim pun senang je, nak tanggung perbelanjaan perubatan ibu/bapa di hospital swasta pun releks je, nak hantar ibu/bapa pergi umrah tiap tahun pun boleh, nak biaya orang yang sakit dan memerlukan pun boleh, nak hantar anak ke sekolah tahfiz terbaik pun boleh, sesaja nak hantar anak ke Yaman belajar Bahasa Arab masa cuti sekolah pun boleh....

Seronoknya kaya, bila kita punya banyak pilihan dan peluang untuk menyumbang...

Seronoknya kaya seperti Saidina Abu Bakar, bila beliau dapat menyumbang seluruh hartanya untuk berjihad menegakkan Islam...Satu perkara yang Saidina Umar cemburui...

Bukankah itu sebabnya Allah mewajibkan zakat?  Supaya yang kaya boleh bersyukur dan membantu yang miskin.

Ada pula yang bertanya, "Saya tak mahu jadi kaya, kalau saya jadi leka dan lupakan Allah macamana?"

Soalan itu, diri sendiri ada jawapannya...

(Jawapan tersebut mungkin menjawab persoalan mengapa Allah tak beri kita kaya....wallahu'alam...)

Bayangkan kalau kita sering bercakap begini:

"Saya tak nak belajar tinggi-tinggi sangat, kalau saya jadi bongkak macamana?"
"Saya takut kerja tinggi-tinggi sangat, kalau saya jadi sombong macamana?"
"Saya tak nak tahu sangat pasal IT dan teknologi ni, kalau saya leka macamana?"

Usah persiakan akal, anggota fizikal yang ada...
Islam perlukan orang kaya, Islam perlukan orang yang pandai...

Pandai...kaya...beriman...

Kaya raya di dunia,
Kaya raya di akhirat.

Jom kaya!


 

Wednesday, September 5, 2012

Saat doa Allah tidak makbulkan...

What happen? Pelik tapi benar. Betullah sudah akhir zaman.

Seorang anak memanggil ibu dan ayahnya si laknat, membahasakan ibunya dengan perkataan "you" dan "engkau".

Berjujuran airmata si ibu bercerita.  Anak gagal melihat betapa beruntungnya dia, jiwanya sakit tidak dapat melihat kasih sayang tulus si ibu.  Hatinya sudah miskin emosi.

"Alhamdulillah, kak!  Dia masih hidup dan sihat."
"Alhamdulillah?", dia menyoal sinis.  Dalam sedih, ada marahnya.  Marah hati yang sedang terluka...

"Alhamdulillah, Allah masih sayangkan dia dan masih beri dia second chance..."

"Berdoalah yang baik-baik...moga dia jadi anak yang soleh yang boleh mendoakan kita nanti."

"Berdoalah semoga perangai sebegitu tidak berterusan ke cucu cicit."

"Buanglah rasa marah tu...dia sedang terkhilaf...kalau dia sedar, dia sendiri tahu dia salah...dan tak sanggup buat begitu."

Petang itu saya menerima panggilan telefon darinya, "Hati akak lapang dan tenang, marah hilang entah ke mana."

"Alhamdulillah!"
Dia menyambung lagi, "Betul, akak sendiripun terkhilaf dan emosi..."

Alhamdulillah, kerana rahmat Allah dan sayangNya yang melimpah ruah, Allah tidak makbulkan doanya ketika marah tadi.

Jika tidak, pasti anaknya sudah menjadi batu...

Tiada siapa yang boleh melembutkan hati, hanya Allah!


 

Tuesday, September 4, 2012

Tips Komunikasi Mudah Dan Berkesan!

Susahnya nak berkomunikasi dengan anak...apatah lagi anak remaja.  Susah juga nak berkomunikasi dengan pasangan.  Cakap sepatah, jawab sepatah.

Bercakap tu senang, yang susah nak berkomunikasi!  Eh, tak sama ke tu?  Rasa macam sama, tapi tak sama sebenarnya.

Kesilapan No.1:
Kita sering lupa hati manusia ini milik Allah...

Tips untuk berkomunikasi yang sangat berkesan rupanya satu saja, berkomunikasilah dengan Allah.  Bila malas berkomunikasi dengan Allah, jangan pelik bila anak mula malas untuk berkomunikasi dengan kita...

Berkomunikasi dengan Allah dalam 1001 cara - doa, zikir, munajat, muhasabah diri, bangun dan solat malam, meminta tolong hanya dari Allah, khusyuk dalam solat, bertasbih dan macam-macam lagi - buat yang paling mudah, satu perkara pun tak apa, tapi satu perkara yang kita buat dengan terbaik dan terikhlas.

Itulah tips dan rahsia komunikasi yang berkesan.
Common sense? True...
But, not a common practice...