Thursday, June 11, 2009

Pancit dan botak.

Di dalam bilik malam itu, saya mengusik suami, “Tu lah….selalu kata I nanti tak ada stamina, tengok-tengok you pun pancit…” Nisha ketawa mengekek-ngekek. Betullah apa yang orang selalu kata, mengukur keupayaan, tidak boleh melihat kekuatan diri semasa di Malaysia, masing-masing dengan habuan masing-masing bila di Tanah Suci. Di sisi Allah tidak dikira isu logik atau tidak logik. Hanya Allah yang Maha Berkuasa. Semua perkara berkemungkinan.

Melihat suami dan Zaid tersandar di katil keletihan, Nisha bersuara, “Abah tak botak ke?” Suami hanya menggeleng. “Abang tak botak ke?” Tanya Nisha kepada Zaid pula. “Tak ada nye…!” Jawab Zaid. Mamat sempoi ni memang sudah awal-awal lagi menegaskan kepada saya tidak hendak botakkan kepala.

“Abah, afdhal-lah abah!” Kata Nisha sambil memandang saya. Keningnya terangkat.
“Betul…apalah sangat korbankan rambut tu…nanti tumbuh juga.” Saya menokok. “Sahabat Nabi tu berkorban nyawa.” Tambah saya lagi (bila jadi 2 ayat, ni dah di dalam kategori membebel…he..heh..)

Dalam hati, diam-diam saya mengharap melihat mereka berdua dengan penampilan baru… Tak apalah, masa masih panjang. Esok lusa, botaklah tu…

Hilang lagi...(sebenarnya bukan hilang!)

Selepas bertahallul, kami kemudiannya ke Safa semula dan memasuki Masjidil Haram. Sambil menunggu Isya’, kami melepaskan penat dengan minum air zam-zam. Malam itu merupakan malam Jumaat, esoknya merupakan cuti umum di sana. Jadi, orang sungguh ramai dan padat. Saya dan Nisha solat berasingan dengan suami, Zaid dan ustaz. Isya’ itu, saya dan Nisha solat di tingkat atas kerana menemankan Nisha mengambil wudhu’.

Selepas solat, memang sangat mustahil dapat mengecam suami untuk balik ke hotel bersama. Orang terlalu padat. Saya dan Nisha menunggu seketika, dan kemudian mengambil keputusan untuk balik ke hotel. Di dewan makan, saya hanya terjumpa ustaz. “Suami menunggu di masjid tadi…” Saya memandang Nisha cuba memastikan samada kami perlu berpatah balik mencarinya. Ustaz Mashkor menyedapkan hati saya, “Takpe, nanti saya cari dia di masjid kalau dia tidak balik juga…hajjah makan dulu. Anaknya sudah makan tadi.”, sambil dia menjelaskan Zaid sudah siap makan. Tidak lama saya dan Nisha makan, suami muncul di pintu, ingatkan dia marah, rupanya dia tersenyum. Leganya saya…

Solat di terowong.

Benar seperti yang ustaz beritahu, kami berpeluang solat Mahgrib di dalam terowong sai’e. Ketika itu, barulah faham maksud ustaz membina saf dan garis-garis mengadap kiblat. Selesai solat, kami menyambung sai’e. Waktu ini, mungkin kerana sudah berhenti berjalan kerana solat, otot-otot kaki mula terasa kejang. Saya membayangkan kekuatan Siti Hajar berlari-lari di tengah panas, sedangkan kami di dalam air-cond, boleh pula menghilangkan dahaga dengan air zam-zam yang sejuk, itupun kami kepenatan. Kuatnya azam seorang ibu kerana anak…hanya anak yang tidak tahu...

Di pusingan terakhir, melihat Marwah bagai mendapat nikmat…mampu juga kami menghabiskan Sai’e. Semua jamaah memang nampak keletihan. Proses bertahallul memang cukup manis. Ustaz menggunting rambut suami, suami menggunting rambut Zaid dan Nisha, akhir sekali, Nisha menggunting rambut saya. Proses ini biasa-biasa saja, tapi sungguh istimewa apabila dilihat dari sudut kami sekeluarga membantu masing-masing membebaskan diri dari pantang larang umrah. "Sweeeeeettttt" sangat tengok suami menggunting rambut Zaid dan Nisha.... (Saya menerima bonus saya yang kedua!)

Stamina.

Sebelum ke Tanah Suci, suami selalu mengusik saya kalau-kalau nanti saya tidak ada stamina. Maklum sajalah, sebagaimana dalam kursus umrah, ustaz ada beritahu, jauh kita kena berjalan dari tawaf hinggalah habis sai’e berjumlah lebih kurang 7 Km. Dalam hati, jarang benar (hampir tidak pernah..heh..heh…) saya berjalan sejauh itu dalam satu masa…apatah lagi terus menerus. Diam-diam saya berusaha mendapatkan stamina…

Berdiri di bukit Safa, sememangnya tidak nampak di mana Marwah. Wah, memang betullah jauh…nun…! Bohonglah jika saya katakan tidak letih dan penat. Tetapi, kekuatan itu masih bersisa. Ustaz sudah berpesan, mungkin di pertengahan ibadah sai’e kami akan solat Maghrib di dalam terowong itu. Jadi kamipun mula bergerak dengan ‘had kelajuan’ masing-masing. Tapi sebenarnya, bila minda fokus kepada doa yang dibaca, penat dan letih tidak terasa. Saya mengerling suami yang juga sudah bergerak perlahan. Di satu pusingan, saya boleh rasakan dia tidak larat untuk berlari anak di lampu hijau. Zaid juga bergerak perlahan, tetapi saya lihat Nisha masih bersemangat. Di saat itu, saya sungguh ‘respect’ malahan terharu dengan semangat Ustaz Mashkor. Dia sudah agak berumur, tapi sabar memimpin kami, membaca doa dengan jelas dan kuat. Bayangkan, hampir selang dua hari dia akan memimpin jamaah baru. Kuat sungguh tenaga beliau. Saya rasa, untuk memimpin jamaah, seseorang itu perlu sabar, bertenaga dan bersemangat tinggi. Saya dapat rasakan, semangat beribadah pada Ustaz Mahskor pastinya tersangat kuat. Beliau langsung tidak berkira. Saya tidak rasa beliau melakukan ini kerana kerja dan duit. Semoga Allah memberinya rahmat dan kekuatan...sihat dan panjang umur...

Wednesday, June 10, 2009

Makam Ibrahim.

Catatan Umrah - backdated 14 Mei 2009 (Khamis-Hari keempat)

Nisha sememangnya ‘sangat particular’ orangnya. Semua perkara perlu tepat dan detail. Selesai tawaf, jamaah lain pergi agak jauh ke belakang dari Makam Ibrahim. Ustaz tidak mahu kami hilang untuk ibadah sa’ie pula selepas itu. Tetapi saya terlihat satu kawasan yang lapang berhampiran dengan Makam Ibrahim, “Nisha, kita solat di situ, cepat!”. Nisha menarik tangan saya untuk betul-betul berada di belakang Makam Ibrahim. Tidak boleh ke tepi sedikit, tapi dia mahu tepat betul. Kata Nisha, kena ambil berkat tempat yang mustajab, jadi kena tepat dan betul tempatnya. Kami solat dan sujud syukur. Airmata kami tumpah lagi…memang mudah sangat menitiskan airmata! Pohonlah apa saja, pasti airmata berjujuran.

Selesai solat baru terfikir, eh…mana suami? Mana jamaah yang lain. Kami memandang ke arah lampu hijau, dan dari jauh nampak suami sedang minum air zam-zam. “Hajah, kita pergi ke sana lepas solat ya!” Tiba-tiba seorang pekerja Rayhar menegur saya, entah dari mana dia datang sayapun tak pasti. Saya dan Nisha kemudian mengikutnya. Suami menegur, “Umrah pertama ni, jangan hilang-hilang, follow ustaz saja!” Saya mengangguk-angguk, tadi sebenarnya ‘ter-excited’ bila nampak Makam Ibrahim, terus terlupa keselamatan diri. Itu yang melencong dari jamaah yang lain. “Pergi minum air zam-zam dulu!” kata suami. Sebenarnya tawaf ni ibadah yang agak berat, air wudhu’ perlu dijaga, niat hati perlu dijaga, kalau tidak batal tawaf dan perlu memulakan pusingan dari awal. Bila selesai, hati jadi ringan untuk memulakan sa’ie. Masa inilah saya baru terasa penat…mungkin sebab muscle yang tadinya stress mula releks…

Ustaz Hj. Mashkor mula memberi penerangan tentang sai’e, naluri ibu mula menyelami perasaan Siti Hajar…

Yang satu.

Catatan umrah - backdated 14 Mei 2009 (Hari keempat - Khamis)

Banyak cerita tentang pengalaman orang yang pertama kali melihat Ka’abah. Ada yang berasa lemah lutut, lemah seluruh badan, menggigil, terduduk, menangis, dan ada yang tidak nampak Ka’abah sampai ke sudah. Cerita-cerita tersebut membuatkan hati berdebar-debar. Dengan dosa saya yang banyak, pengalaman yang mana satukah akan saya lalui? Akan terbukakah hijab dosa-dosa saya nanti? Apatah lagi dalam saya mengintai-intai di sebalik tiang, saya masih belum nampak yang satu itu…

Akhirnya Ka’abah jelas di depan mata, suami mencuit saya, “Itu Ka’abah! Itu Ka’abah!” Saya hanya mengangguk-angguk, cuba menyelami hati dan perasaan sendiri. Diri bagai bermimpi, betulkah aku di sini? Diri rasa mendapat untung yang sangat besar dan lumayan! Syukur teramat syukur. Ka’abah yang saya sering bayang-bayangkan apabila rukuk dan sujud memandang sejadah, sudah tersergam di depan mata. Rasa bagai mahu meluru memeluknya. Entah apa yang ustaz cakapkan, saya lansung tidak mendengarnya, mata terus leka memandang Ka’abah. Kami berjalan sehingga sangat hampir dengannya, sangat hampir. Ustaz menunjukkan kedudukan Hajarul Aswad dan lampu hijau untuk kami memulakan tawaf. Orang memang ramai, tetapi keadaan terasa lapang.

Pusingan pertama, saya membaca doa dalam Bahasa Arab. Begitu juga dengan pusingan kedua dan ketiga. Masuk ke pusingan keempat, saya membaca doa dalam Bahasa Melayu. Sungguh menyerap dan relevan. Air mata saya berjurai-jurai, menangis tersedu-sedu, terkenang cabaran yang dilalui untuk ke sini, laluan yang Allah berikan, bantuan yang Allah sediakan…ketika itulah terasa yang amat sangat menjadi tetamuNya dan kedatangan kami atas jemputanNya...terimakasih Ya Allah kerana menjemputku, menjemput suamiku dan menjemput anak-anakku… besarnya rasa hati…Allah saja yang tahu!