Photo by: www.flickr.com/photos/mrlee_1979...9671329/
Saya hanya membacanya dari suratkhabar, mendengarnya melalui TV dan radio. Sesekali mendapat kiriman emel. Cerita-cerita sungguh sensasi. Berita-berita yang diterima juga sangat ekstrim. Terfikir juga saya, betul ke sampai begitu sekali? Kerana terlalu ekstrim pada sudut pandangan saya sendiri, adakalanya hati saya terdetik…”Eh, macam tak logik…!”
Satu hari saya berhadapan dengan bukti yang saya lihat dengan mata saya sendiri. Bukan superimposed, bukan dibuat-buat, tapi sememangnya original. Di depan saya seorang ibu yang sedang lemah longlai, terkejut dan sedih. Saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Dia menunjukkan kepada saya telefon bimbit anak lelaki remajanya. Di dalamnya penuh dengan gambar teman wanitanya, seorang gadis yang comel, perwatakan lembut, dan saya jamin, jika bertembung dengan gadis ini, kita tidak akan menyangka walau sedikitpun di sebalik personalitinya yang lembut, comel, manis dan bertudung , dia mempunyai satu lagi personaliti yang sama sekali berlawanan. Ada gambar bertudung, ada gambar tidak bertudung. Ada gambar berseluar pendek, sengaja berposing menampakkan pehanya, lengannya, lehernya…dan…paling berani…bahagian dadanya…bahagian yang sepatutnya terletak sebahagian besar rasa MALU pada diri seorang perempuan…apatah lagi menunjukkannya dengan penuh gaya untuk tatapan teman lelaki, yang baru dikenalinya SEBULAN!
Ibu remaja lelaki ini berkata kepada saya, “Puan, saya ingatkan apa yang saya rasa tentang sikap anak lelaki saya sudah teruk, tetapi saya rasa kalaulah emak budak perempuan ni tahu apa yang dia dah buat, saya rasa dia akan lebih terduduk dari saya, anak saya lelaki, anak dia perempuan…”
Memang benar, dalam hati saya juga terdetik, “Kesiannya emak budak perempuan ni….pasti luluh hati jika mendapat tahu…” Saya amat pasti, ibunya 100% tidak akan percaya anak gadisnya sedemikian.
Di mana silapnya? Nilai malu sudah tidak ada harga lagi. Nilai aurat lansung tidak relevan dengan tudung yang dipakainya. Di titik manakah dalam hidupnya, rasa malu itu mulai hilang…dan terus luput dalam dirinya…Bilakah dia mulai hilang rasa malu? Bila rasa malu sudah tiada, semua kesedaran diri juga turut hilang, suara hatinya turut hilang, daya imaginasinya ke arah keTuhanan juga hilang. Nafsu mula menguasai diri dan akal.
Otak kepala saya bertanya 1001 persoalan – kenapa, mengapa? Bagaimana boleh jadi begitu? Adakah itu budaya di kalangan pelajar sekolah hari ini, budaya yang menular secara senyap dari seorang pelajar ke seorang pelajar, yang menular tanpa disedari oleh guru-guru, apatah lagi oleh ibubapa? Budaya personaliti yang berbeza-beza? Di depan ibubapa personaliti A+++, di belakang kita, personaliti yang sama sekali berlawanan.
Anak lelaki pun saya ada, anak perempuan pun saya ada... Cabaran terasa bukan sebarangan beratnya!
Selama ini saya fikir, rasa malu bagai suatu perkara yang diketahui semulajadi, tetapi hari itu saya tersedar bahawa malu perlu diajar dan dipelajari secara khusus dan formal. Anak-anak dan kita perlu tahu bahawa malu itu sebahagian dari iman. Sebagai ibubapa, kitalah yang mesti menanam rasa MALU secara mendalam dalam diri mereka, sedalam-dalamnya - perlu seawal mungkin, sejelas mungkin. Mereka perlu betul-betul faham makna malu, prinsip malu, akhlak malu dan di mana tempat sebenar rasa malu itu perlu diletakkan – perlu ada rasa malu selagi mana ianya dapat menguatkan iman kepada Allah. Maklum sajalah, kita sentiasa diuji oleh nafsu, dan hanya rasa MALU yang dapat mengawal nafsu kita itu.
Malu itu rupanya separuh dari iman. Pesanan bernada sindiran dari Rasulullah...
“Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.”
Hadis riwayat lmam Bukhari.
(Rujukan Hadis ke-20, klik untuk Hadith 40)
Malu pada Allah bila meninggalkan solat, meninggalkan puasa dan lain-lain rukun yang lima.
Malu pada Allah bila solat main-main, tangguh-tangguh, ringan-ringan…
Malu pada Allah bila berbohong, mencuri, dan melakukan dosa..
Malu bila terbuka auratnya…
Malu bila berpegang-pegangan dengan bukan muhrim…
Malu bila melawan ibubapa…
Malu bila gagal menahan rasa marah…
Malu bila terjerit-jerit…
Malu bila ketinggalan dalam ilmu pengetahuan…
Malu bila tiada keberanian bersuara mempertahankan pendapat dan pendirian yang betul…
Malu bila diri sendiri tidak berusaha dengan potensi diri yang sebenar…
Malu bila tidak meletakkan malu ditempatnya yang sebenar…
Jangan pula...
Saya berdoa, janganlah sekali-kali mereka hilang rasa malu pada diri sendiri, sehingga orang lain turut hilang malu pada mereka….sehingga maruah diri juga turut hilang nilainya…
….sayang…kita perlu rasa malu…itulah hijab kita…